JOHOR BAHRU: Situasi banjir di Johor kian memburuk apabila seramai 5,878 mangsa banjir ditempatkan di 54 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di enam daerah terjejas termasuk Pontian menjadi daerah baru dilanda banjir, setakat jam 12 tengah hari.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Azmi Rohani berkata, jumlah itu meningkat berkali ganda berbanding jam 10 pagi tadi, yang mencatat 2,162 mangsa banjir di 25 PPS.

Katanya Segamat terus merekodkan jumlah mangsa banjir yang tertinggi, melibatkan 1,431 penduduk daripada 419 keluarga, yang ditempatkan di 16 buah PPS.

"Kluang juga meningkat yang melibatkan 1,952  mangsa banjir dari 518 keluarga yang ditempatkan di 10 PPS.

"Disusuli daerah Kota Tinggi pula dengan 1,156 mangsa daripada 259 keluarga, berjaya dipindahkan ke 13 PPS.

"Daerah Johor Bahru yang merekodkan seramai 1,004 mangsa daripada 296 keluarga, dengan sembilan PPS beroperasi.

"Daerah Kulai membuka lima PPS yang menampatkan 320 mangsa daripada 80 keluarga. Di Pontian juga 15 mangsa banjir daripada tiga keluarga ," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Azmi, banjir yang melanda beberapa daerah di negeri ini berpunca daripada hujan berterusan sejak semalam, sekali gus mengakibatkan peningkatan paras air berlaku di kawasan terlibat.

"Jabatan Meteorologi juga menjangkakan hujan lebat berterusan melanda negeri Johor sehingga esok.

"Sebelas sungai di daerah terjejas juga melepasi paras bahaya, antaranya Sungai Segamat, Sungai Labis, Sungai Lenik di Caah, Sungai Kahang, Sungai Skudai, Sungai Ulu Pulai dan Sungai Sayong," katanya lagi.