AMPANG: Seorang lelaki diberkas dipercayai mendera anak perempuannya yang berumur dua tahun dalam kejadian di sebuah rumah dekat Taman Pinggiran Cheras di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, laporan berkaitan kejadian sebelum itu dibuat nenek mangsa kira-kira jam 10 pagi pada 28 April lalu.

"Wanita berumur 58 tahun itu mendapati cucunya mengalami luka di bahagian kepala, lengan selain terdapat kesan melecur.

"Mangsa memaklumkan dirinya didera bapanya itu semasa berada di rumah," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Katanya, mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Ampang untuk rawatan lanjut.

"Siasatan dijalankan kemudian membawa kepada tangkapan seorang lelaki tempatan berumur 37 tahun yang merupakan bapa mangsa.

"Suspek ditahan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di Jalan Kuari, Kuala Lumpur kira-kira jam 10.30 malam pada Rabu," katanya.

Menurutnya, saringan dijalankan mendapati suspek positif dadah.

"Semakan dijalankan turut mendapati suspek memiliki satu rekod lampau berkaitan dadah.

"Suspek kini direman tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian