ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Jumaat, 21 Ogos 2020.

1) COVID-19: Kluster Maju diisytihar kluster baharu - Dr Noor Hisham

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dua kes pertama kluster tersebut melibatkan kes 9,176 dan kes 9,177 yang dilaporkan pada 16 Ogos lalu.

2) COVID-19: Kuching kembali sebagai zon kuning, hanya satu kes dilaporkan di Sarawak

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada Jumaat melaporkan, kes tersebut melibatkan seorang lelaki warganegara India berusia 26 tahun.

3) Pekerja JKR maut dirempuh ketika mengecat garisan jalan

Seorang pekerja Jabatan Kerja Raya (JKR) maut sementara tiga lagi cedera selepas dirempuh sebuah kereta ketika melakukan kerja mengecat garisan jalan di Jalan Lorong Pandan berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Tengkera, Melaka, pagi tadi.

4) Siti Kasim lepas bebas tuduhan halang tugas pegawai JAWI pada jamuan transgender

Majistret Tawfiq Affandy Chin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan unsur-unsur pertuduhan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan di akhir kes pendakwaan terhadap Siti Kassim atau nama sebenarnya Siti Zabedah Kasim, 57.

5) Pembubaran DUN Sabah: 33 ADUN kemuka rayuan keputusan Mahkamah Tinggi

menurut peguam Tengku Fuad Tengku Ahmad, hakim juga mendapati 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam kes tersebut ada hak untuk memohon semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin membubarkan DUN Sabah.

6) Slim Memilih: Perang bendera masih 'hambar', kebiasaan baharu untuk pilihan raya akan datang?

Tinjauan Astro AWANI turut mendapati bahan kempen seperti poster calon Bebas, S.Shantarasekaran langsung tidak kelihatan sepanjang laluan ke Pekan Slim.

7) Abdul Ghani Salleh dilantik Pengerusi SPR yang baharu

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam satu kenyataan berkata, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memperkenankan pelantikan Abdul Ghani.

8) Dia banyak muat naik status berkenaan akhirat - Bapa

Suasana pilu menyelubungi perkarangan Bilik Mayat Hospital Hulu Terengganu malam tadi ketika jenazah mangsa lemas, Faris Iskandar Mohd Radhi, dituntut keluarga kira kira jam 11.30 malam.

9) Md Rayhan diusir dari Malaysia malam ini

Warga Bangladesh, Md Rayhan Kabir yang ditemu bual dalam dokumentari Al Jazeera bertajuk "Locked Up in Malaysia's Lockdown" diusir ke negara asalnya malam ini.

10) RON97 lepasi harga RM2 seliter, RON95 naik 3 sen tengah malam ini

Berdasarkan perkongsian di laman Facebook rasmi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), harga tersebut adalah bagi tempoh 22 Ogos hingga 28 Ogos ini.