MALAYSIA
Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
ANTARA pelbagai berita tempatan yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Isnin, 31 Ogos 2020.
Sambutan Hari Kebangsaan tetap perlu diraikan sekalipun negara masih diancam pandemik COVID-19 bagi memastikan rakyat sentiasa mengingati pengorbanan generasi terdahulu dalam mencapai kemerdekaan, titah Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.
Baginda juga mengingatkan rakyat sebagai pewaris masa depan agar tidak lalai atau mengambil mudah dalam memastikan negara kekal merdeka dan aman.
Kerajaan Sarawak telah bergerak seiring dengan aspirasi Kerajaan dengan menyediakan pelbagai bantuan kepada rakyat sewaktu pandemik COVID-19 ini, sesuai dengan tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, 'Malaysia Prihatin', kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata pelbagai program pembangunan yang sedang atau sudah dilaksanakan di negeri itu juga terus menjadi agenda pengisian kemerdekaan yang sebenarnya.
Seorang kanak-kanak lelaki dijumpai maut dalam parit di Jalan Padang Temusu, Kampung Padang Temusu, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.49 pagi itu, mangsa Muhamad Uwas Al-Hafiz Hamizal, 5, ditemukan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangi terbabas lalu terjatuh ke dalam longkang di Persiaran Cempaka Sari 34, Taman Cempaka, dekat sini, hari ini.
Mangsa, P. Paramaswaran, 57, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Seorang pemandu maut selepas kereta yang dipandunya merempuh tiang papan tanda dan sebatang pokok di Selayang pada pagi Isnin.
Menurut Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe kejadian berlaku kira-kira jam 7 pagi ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Selayang menghala ke Kepong.
Seorang pemandu maut manakala seorang lagi pemandu serta penunggang motorsikal cedera parah dalam kemalangan di Jalan Saujana Impian arah Semenyih pada pagi Isnin.
Menurut Ketua Polis Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, kejadian berlaku jam 8.15 pagi tadi ketika lelaki berusia 18 tahun memandu kenderaan jenis Proton Persona dalam perjalanan dari arah Semenyih ke Kuala Lumpur.
Hari Kemerdekaan ke-63 amat bermakna buat 13 banduan yang dipenjarakan seumur hidup pada 2001 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur apabila dibebaskan atas pengampunan Yang Di-pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Isnin.
Dalam satu kenyataan media Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan, baginda berkenan mengurniakan pembebasan awal pada kesemua banduan terbabit bersempena Hari Kemerdekaan ke-63
Seramai 253 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Ahad.
Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan media memaklumkan, daripada jumlah itu, 219 individu telah dikompaun dan 32 individu direman.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri mengingatkan rakyat di negara ini agar sentiasa mengamalkan kawalan kendiri terutama ketika menyambut hari ulang tahun kemerdekaan negara ke-63.
Dalam kenyataan media beliau memaklumkan, walau meraikannya dalam keadaan sederhana dan norma baharu, rakyat sesekali diingatkan supaya tidak lupa bahawa pandemik COVID-19 masih menjadi ancaman kepada negara.
Satu lagi kematian pesakit COVID-19 telah dicatat hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat wabak itu, meningkat kepada angka 127.
Ia merupakan kematian kedua dicatatkan bulan ini, selepas kematian terakhir direkodkan pada 31 Julai, 2020.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami