MALAYSIA
Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini

Berikut adalah antara berita tempatan yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Jumaat, 23 Oktober 2020.
Penjelasan oleh Pakar Perlembagaan Prof Dr Shamrahayu A. Aziz tentang apa itu darurat seperti mana dipetik daripada hantaran di akaun Facebook beliau.
Menteri Kabinet mula meninggalkan Bangunan Perdana Putra selepas lebih dua jam menghadiri Mesyuarat Khas Kabinet, di sini hari ini.
Kenderaan yang membawa Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dilihat yang pertama keluar meninggalkan bangunan tersebut pada pukul 12.40 tengah hari.
Mesyuarat Khas Kabinet yang berlangsung pada pagi Jumaat tidak membincangkan mengenai isu pembubaran Parlimen, Pilihan Raya Umum (PRU) atau rombakan menteri sedia ada.
Menurut sumber dari ahli Kabinet, ia hanya berkisar tentang perbincangan isu Belanjawan 2021 yang dijadual pada 4 petang, 6 November serta usaha bersepadu memerangi gelombang ketiga COVID-19.
Mungkinkah kerajaan akan mengisytiharkan darurat ekonomi? Itu spekulasi yang tersebar susulan Mesyuarat Khas Kabinet di Putrajaya, pagi tadi.
Akhbar Singapura, Straits Times memetik beberapa sumber yang tidak dinamakan memberitahu, mesyuarat hari ini adalah untuk membincangkan beberapa cadangan berkaitan pembentangan Belanjawan 2021 yang dijadualkan bulan depan, ketika negara sedang 'berperang' dengan gelombang ketiga COVID-19.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Istana Abdulaziz, Indera Mahkota, di sini sekitar pukul 4.40 petang Jumaat.
Terdahulu, sekitar pukul 4.30 petang, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah dilaporkan memasuki pekarangan istana sama selepas menziarahi makam ayahanda baginda di Pekan.
Harga runcit petrol RON95 dan RON97 masing-masing turun 4 sen manakala diesel pula turun 1 sen berkuat kuasa 24 hingga 30 Oktober ini.
Kementerian Kewangan, menerusi satu kenyataan pada Jumaat, memaklumkan harga runcit RON95 yang sebelum ini RM1.68 seliter diturunkan kepada RM1.64 seliter sepanjang tempoh berkenaan.
Goldman Sachs Singapore Pte (GSSP) akan membayar AS$122 juta kepada kerajaan Singapura atas peranannya dalam penawaran bon 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Ini dinyatakan dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan awal pagi ini oleh Jabatan Hal Ehwal Komersial (CAD) Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) republik itu.
CIMB Bank Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd (CIMB) telah meluluskan hampir 100 peratus daripada 60,000 permohonan individu serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk program bantuan pembayaran semula bank itu.
Setakat pertengahan Oktober, jumlah kelulusan melibatkan lebih RM10 bilion, demikian menurut CIMB dalam satu kenyataan hari ini.
Negeri Selangor dijangkan akan terus mencatatkan peningkatan kes penularan COVID-19 susulan proses saringan yang akan dibuat secara meluas.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bagaimanapun rakyat di negeri itu tidak perlu bimbang dan panik berhubung situasi itu kerana keadaan masih berada di peringkat terkawal.
Malaysia mencatatkan angka kematian tertinggi iaitu 10 kes baharu hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian akibat COVID-19 meningkat kepada 214 kes.
Selain itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 710 kes baharu COVID-19 juga direkodkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 24,514 kes.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami