ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Khamis, 19 November 2020.

1) 'Tinggal saya seorang, saya kesunyian' - Tun M luah rasa sedih atas pemergian sahabat

"TINGGAL saya seorang. Saya sedih.

"Semua mereka kawan lama. Saya kesunyian."

2) Tony Fernandes jual rumah agam RM13.55 juta di Scotland

Pengasas syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes menjual rumah agamnya di Ayrshire, Scotland yang bernilai 2.5 juta Pound (RM13.55 juta).

Portal berita The Sun melaporkan, tokoh korporat dari Malaysia itu membuat keputusan sebahagian daripada hartanya bagi menyelamatkan empayar perniagaannya.

3) Mayat lelaki dipercayai dibunuh ditemukan di Jalan Bangsar

Seorang lelaki dijumpai mati dengan kesan tikaman di Jalan Bangsar awal pagi tadi.

Mangsa yang dipercayai berusia 30an itu ditemukan di tengah laluan di jalan tersebut pada jam 5.38 pagi oleh orang awam.

4) Amaran ribut petir di beberapa kawasan seluruh negara sehingga 11 malam

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir di beberapa kawasan di seluruh negara dengan hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku sehingga 11 malam ini.

MetMalaysia dalam kenyataan malam ini memaklumkan negeri yang dijangka terlibat adalah Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sarawak, Sabah dan Labuan.

5) Gangguan bekalan air di Seremban, Rembau pada 24 November

Sebahagian kawasan di daerah Seremban dan Rembau akan mengalami gangguan bekalan air sementara selama 24 jam mulai pukul 8.00 pagi pada 24 Nov ini, menurut Ketua Bahagian Perhubungan Awam Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) Norzita Ismail.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan SAINS di sini hari ini beliau berkata, gangguan itu berikutan kerja-kerja penyelenggaraan berjadual pengalihan paip di Jambatan Sungai Temiang, Seremban serta pencucian tangki air di Loji Rawatan Air (LRA) Pedas Lama, Rembau.

6) Jangan ugut dengan tindakan undang-undang - PAC

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyifatkan kenyataan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) bahawa ia sedang mengkaji untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Pengerusi PAC sebagai tidak patut sama sekali dan suatu percubaan untuk mencabar serta mencabuli keutuhan institusi Parlimen.

Pengerusinya Wong Kah Woh berkata tindakan YWP itu adalah berkenaan Laporan PAC berhubung Penjualan Tanah Milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dibentangkan di Parlimen, Rabu lalu.

7) 9,167 kes positif COVID-19 dikesan melalui MySejahtera - Dr Noor Hisham

Penggunaan aplikasi MySejahtera menunjukkan keberkesanan apabila berjaya merekodkan sejumlah 9,167 kes positif COVID-19 sejak ia dilancarkan pada 20 April lepas sehingga semalam, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata aplikasi bagi membantu pengurusan pandemik COVID-19 itu telah banyak membantu Kementerian Kesihatan (KKM) dalam mengesan kes-kes positif COVID-19 melalui kaedah penilaian kesihatan kendiri dan pengesanan kontak rapat.

8) Penternak lelong ikan siakap, kerapu elak kerugian besar

Laguna Sri Tujuh di sini hari ini menjadi tumpuan ramai apabila lebih 20 penternak siakap dan kerapu di kawasan itu melelong ikan ternakan mereka yang mati akibat kualiti air yang merosot susulan pelepasan air menerusi pintu air Sungai Tapang dikatakan membawa kelodak dan sisa tumbuhan ke kawasan ternakan, sejak petang semalam.

Tinjauan Bernama mendapati sepanjang jalan di laguna itu menjadi sesak daripada kebiasaan apabila penggemar ikan berkenaan membanjiri gerai jualan untuk membeli ikan pada harga murah.

9) NUTP wujudkan pusat amal agihkan peranti kepada pelajar

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) hari ini mewujudkan Pusat Amal NUTP (Sumbangan Peranti) untuk mengumpul peranti (gajet) bagi membantu murid mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dari rumah susulan pandemik COVID-19.

Setiausaha Agungnya Harry Tan Huat Hock berkata inisiatif itu penting kerana berdasarkan kajian, jumlah murid miskin tegar di Malaysia agak besar dan ketiadaan peranti boleh menjejaskan pembelajaran secara dalam talian murid daripada kumpulan ini.

10) Kanak-kanak dua tahun antara lapan kes positif COVID-19 baharu di Sarawak

Lapan kes positif COVID-19 baharu direkodkan di Sarawak pada Khamis termasuk membabitkan kanak-kanak berusia dua tahun.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, dalam kenyataan memaklumkan, enam kes dilaporkan di Kuching manakala dua kes di Miri, menjadikan jumlah kes kumulatif meningkat kepada 1,053 kes.