ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Selasa, 29 Disember 2020. 

1) Jakim sedia pelan tindakan tangani isu daging seludup

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah menyediakan pelan tindakan khusus untuk menangani isu daging seludup yang tidak berlogo dan diiktiraf, bagi memastikan kegiatan itu tidak berlaku di negara ini.

2) Kartel daging mungkin didalangi sindiket dalam dan luar negara - Polis

Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menolak kemungkinan bahawa aktiviti penyeludupan kartel daging import melibatkan rangkaian yang luas serta didalangi sindiket dalam dan luar negara.

3) Isu kartel: Tiada daging kanggaru, kuda dan babi ditemui

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesahkan bahawa tiada daging kuda, kanggaru atau babi ditemui susulan rampasan di sebuah gudang di Senai pada awal bulan ini.

4) COVID-19: 1,925 kes direkodkan, Selangor 747 jangkitan, sembilan kluster baharu

Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 747 kes, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (360 kes) dan Pahang (288 kes).

5) PKPD di KEMTA Kamunting, ini lima tumpuan kenyataan media PKPP

Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Pusat Koreksional Kamunting (KEMTA) di Taiping, Perak dan kuarters bermula esok, 30 Disember hingga 12 Januari depan.

6) Macau Scam: Siasatan terhadap 29 pegawai, anggota polis hampir selesai - KPN

Siasatan terhadap 29 anggota serta pegawai termasuk berpangkat deputi komisioner (DCP) berhubung sindiket Macau Scam dan judi dalam talian membabitkan Addy Kanna dan Alvin Goh kini berada pada fasa akhir.

7) Tun M kembali ke Pakatan Harapan? Ini jawapan Anwar Ibrahim...

Pakatan Harapan (PH) boleh mengundang sesiapa sahaja untuk menyertai gabungan itu ataupun di bawah payung PH Plus, tetapi dengan syarat harus patuh kepada prinsip penubuhannya, kata Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

8) Syed Saddiq junjung kasih TMJ bantu rakyat Muar, mohon maaf atas kesilapan

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjunjung kasih kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ) atas sumbangan Tunku Ismail Sultan Ibrahim kepada penduduk Muar.

9) Pengecualian cukai jualan kenderaan dilanjutkan sehingga Jun 2021 - Kementerian Kewangan

Kementerian Kewangan (MOF) hari ini mengumumkan tempoh pengecualian cukai jualan kenderaan yang akan berakhir 31 Dis ini dilanjutkan enam bulan sehingga 30 Jun 2021.

10) Tiada penjarakan fizikal, ribuan penumpang bersesak di jeti feri ke Langkawi

Tinjauan Astro AWANI di Terminal Feri Kuala Perlis mendapati sebahagian besar penumpang yang ingin masuk ke terminal tidak mengamalkan penjarakan fizikal malah beratur dalam keadaan rapat antara satu sama lain.