ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah berita paling menjadi tumpuan sepanjang Jumaat, 18 Jun 2021.

1. 'Teruskan dan jangan berundur, kita mampu kembalikan kehidupan normal' - PM

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru agar semua pihak terus istiqamah berjuang melawan pandemik COVID-19 dalam memastikan negara mampu keluar daripada kemelut yang melanda serta menjalani kehidupan normal seperti sedia kala.

2. Hospital swasta akan perincikan caj tambahan saringan COVID-19

Persatuan Hospital Swasta Malaysia menegaskan bahawa harga siling ujian saringan COVID-19 yang ditetapkan kerajaan tidak termasuk bayaran penggunaan perubatan lain seperti PPE dan konsultasi dengan pengamal perubatan.

3. KWSP lancar e-Payroll, bantu majikan urus dan rekod gaji secara digital

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperkenalkan e-Payroll, penambahbaikan terhadap portal i-Akaun (Majikan), bagi membantu dan mempermudahkan urusan termasuk caruman KWSP, secara digital.

4. Palestin: Mesir sedia bantu Malaysia salur bantuan kemanusiaan, perubatan

Kerajaan Mesir menyatakan kesediaan membantu Malaysia dalam usaha penyaluran bantuan kemanusiaan dan perubatan kepada Palestin. Perkara itu dinyatakan Presiden Mesir Abdel Fattah el-Sisi kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin

5. Safawi mohon maaf aksi rai jaringan tewaskan Thailand

Pemain sayap skuad kebangsaan, Muhammad Safawi Rasid memohon maaf susulan aksinya meraikan jaringan kemenangan Malaysia menewaskan Thailand pada perlawanan terakhir Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023, Rabu lepas.

6. COVID-19: Kes baharu kembali meningkat, 6,440 jangkitan direkodkan

Angka jangkitan baharu COVID-19 kembali mencatatkan peningkatan apabila sebanyak 6,440 kes baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu sekali gus menjadikan keseluruhan kes kini sebanyak 685,204 kes

7. Dari dalam ICU Sungai Buloh: Perjuangan antara hidup dan mati

Situasi di Hospital Sungai Buloh sama seperti hospital lain, mereka kini kekurangan katil untuk menempatkan pesakit COVID-19 tahap empat dan lima.

8. Cakap tak serupa bikin, jejas inisiatif pelancongan, Bunga Citra Lestari dikecam selebriti Bali

Tindakan penyanyi dan pelakon Bunga Citra Lestari (BCL) yang memuat naik hantaran di akaun Instagramnya semasa menjalani proses kuarantin kendiri mengundang rasa tidak puas hati sesetengah pihak.

9. 160 kilang telah diarahkan tutup kerana langgar SOP - Ismail Sabri

Sebanyak 160 kilang dan 17 premis perniagaan yang beroperasi tanpa kebenaran dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) diarahkan tutup, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

10. KKM: Semua yang berdaftar dalam MySejahtera akan terima vaksin

Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan semua individu yang berdaftar sebagai penerima vaksin melalui aplikasi MySejahtera akan diberi tarikh janji temu untuk vaksinasi.