ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah berita paling menjadi tumpuan sepanjang Khamis, 8 Julai 2021.

1. Komponen BN tetap sokong PN sehingga pilihan raya berikutnya - Presiden MCA

Keputusan Majlis Tertinggi UMNO semalam yang menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima reaksi yang bertentangan daripada parti komponen Barisan Nasional (BN).

2. UMNO Sabah kekal dengan GRS, pentadbiran negeri berjalan seperti biasa - Bung Moktar

Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, Kerajaan Sabah ditadbir GRS masih berfungsi seperti biasa dan menjalankan tugas demi kesejahteraan rakyat negeri itu.

3. COVID-19: 300 jemaah dibenar solat Jumaat, Aidiladha di Wilayah Persekutuan - JAWI

Kesemua ketetapan baharu itu telah diperkenan Yang di-Pertuan Agong dan akan berkuat kuasa 9 Julai di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

4. Ahli-ahli Parlimen BN umum kekal sokong PN, Muhyiddin demi agenda bela rakyat

Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) mengumumkan sepakat kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri untuk meneruskan agenda membela rakyat.

5. Kenyataan Presiden tidak menggambarkan keputusan MKT UMNO - Annuar Musa

Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa mendakwa kenyataan dikeluarkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tengah malam tadi tidak menggambarkan keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti.

6. COVID-19: Negara rekod jumlah kematian harian tertinggi, kes positif melonjak kepada 8,869

Malaysia merekodkan jumlah kes kematian harian tertinggi apabila 135 lagi kematian akibat COVID-19 dilaporkan sepanjang 24 jam lalu menjadikan jumlah kumulatif kematian kini sebanyak 5,903 kes.

7. Tun M tidak berminat jadi PM interim, enggan terlibat 'percaturan politik' ketika ini

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad, memberi bayangan tidak berminat dengan jawatan Perdana Menteri interim susulan perkembangan politik semasa ketika ini.

8. PM, jemaah menteri kekal berfungsi seperti biasa - Peguam Negara

Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berkata, buat masa ini, kerajaan tidak mempunyai apa-apa fakta jelas yang menunjukkan bahawa Muhyiddin tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.

9. Pejuang kini parti berdaftar, lulus pendaftaran hari ini - Tun Mahathir

Pengerusi Penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan parti tersebut secara rasminya telah didaftarkan sebagai parti politik pada 8 Julai 2021.

10. COVID-19: Pesakit ditempat di luar Jabatan Kecemasan HTAR untuk sementara - Dr Sha'ari

Penempatan katil tambahan bagi pesakit COVID-19 di luar Jabatan Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang terpaksa dilakukan sementara menunggu kekosongan katil wad.