ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Selasa, 15 Mac 2022.

1. MRT3 dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2030

Tender untuk projek tersebut dirancang untuk dimulakan pada tahun ini melalui lima pakej utama dalam tempoh enam hingga lapan tahun.

2. Bekas ADUN Rembia, Datuk Norpipah Abdol meninggal dunia

Allahyarham berusia 68 tahun itu menghembuskan nafas terakhir di Institut Kanser Negara (IKN), Putrajaya kira-kira jam 3.42 pagi tadi.

3. Rakyat dinasihat buat pilihan bijak ketika guna 'Pay Later' - Yamani Hafez

Orang ramai dinasihati melaksanakan tiga perkara penting apabila menggunakan sistem itu dan pertamanya adalah memahami terlebih dahulu terma dan syarat BNPL.

4. SRC International: Tujuh tuduhan Najib boleh dibatalkan, wujud konflik kepentingan - Peguam

Tujuh pertuduhan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak boleh dibatalkan susulan kegagalan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali mendedahkan jawatannya selaku setiausaha syarikat dan ketua penasihat undang-undang kumpulan Maybank pada 2012.

5. Rafizi kembali ke gelanggang politik, tanding jawatan Timbalan Presiden PKR

Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mengesahkan akan kembali ke gelanggang politik apabila mengumumkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan pucuk pimpinan parti itu akan datang.

6. Onn Hafiz angkat sumpah MB Johor ke-19

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor Ke-19 di hadapan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Selasa.

7. Tahniah Onn Hafiz, kini masa untuk bersama bina Johor yang lebih makmur - Hasni

Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad menyeru semua pihak untuk bersama-sama membina Johor yang lebih makmur.

8. 'Saya mohon Bangsa Johor bersama saya bangunkan negeri' - Onn Hafiz

Menteri Besar Johor ke-19, Datuk Onn Hafiz Ghazi memohon agar rakyat Johor bersamanya bersatu hati, minda dan tenaga tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang dalam membangunkan negeri itu.

9. Hukuman gantung pembunuh Bill Kayong kekal

Mahkamah Persekutuan Kuching pada Selasa mengekalkan hukuman mati terhadap seorang lelaki yang didapati bersalah membunuh aktivis Bill Kayong pada Jun 2016 lalu.

10. DUN Kelantan, Terengganu dan Kedah tidak akan bubar sehingga tamat penggal

Menurut Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, pendirian itu diambil bagi memastikan usaha untuk mengembalikan kestabilan dan kesejahteraan rakyat dapat dilakukan.