ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Selasa, 2 Februari 2021.

1) PKP 2.0 disambung hingga 18 Februari, rentas negeri, aktiviti sosial masih tidak dibenarkan 

Rentas negeri dan aktiviti sosial masih tidak dibenarkan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang dilanjutkan sehingga 18 Februari ini. 

2) PKP 2.0: SOP Tahun Baharu Cina diumum dalam masa terdekat 

Prosedur operasi standard (SOP) sambutan Tahun Baharu Cina di seluruh negara akan diumumkan dalam masa terdekat. 

3) COVID-19: 21 kematian hari ini, tertinggi pernah direkodkan 

Malaysia merekodkan 21 kematian iaitu jumlah korban tertinggi setakat ini akibat pandemik COVID-19. Pertambahan 21 kematian itu sekali gus menjadikan jumlah kumulatif korban di Malaysia kini sebanyak 791 kes. 

4) "Umi minta maaf"... Penjaga rumah perlindungan sayu 67 penghuni positif COVID-19 

Seramai 67 penghuni termasuk enam bayi berusia sepuluh hari hingga 12 bulan di sebuah pusat perlindungan wanita dan kanak-kanak di Skudai, di sini, didapati positif COVID-19. 

5) Vaksin COVAX dikecualikan perintah larangan Kesatuan Eropah 

Semua vaksin COVID-19 yang diperoleh menerusi skim COVAX, seperti yang disertai Malaysia, dikecualikan daripada perintah larangan eksport vaksin yang diumumkan Kesatuan Eropah (EU) baru-baru ini. 

6) Kedudukan kewangan negara kukuh, sektor kesihatan masih terkawal - Tengku Zafrul 

Kedudukan kewangan kerajaan ketika ini kekal kukuh meskipun berdepan pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. 

7) Ebit Lew dakwa akan dipenjara 3 tahun sekiranya teruskan bantuan di Sabah 

Pendakwah bebas yang terkenal dengan sifat dermawannya, Ebit Lew terpaksa menangguhkan niatnya untuk meneruskan misi bantuan di Sabah kerana tidak dibenarkan berbuat demikian. 

8) Najib tuntut permohonan maaf, pampasan RM10 juta daripada Tommy Thomas 

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengemukakan tuntutan kepada Tan Sri Tommy Thomas yang didakwa memfitnahnya dalam buku berjudul "My Story Justice in The Wilderness". 

9) "Saya amat bangga dengan Nicol" - Bapa

"Kami amat bangga dengannya. Ini adalah sesuatu yang di luar jangkaan kami atau sesiapa jua," kata Desmond David mengenai kejayaan anaknya, Datuk Nicol merangkul gelaran berprestij Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia malam tadi. 

10) Pusara 'Adik' jadi tumpuan orang ramai

Pemergian kanak-kanak berusia tujuh tahun yang didakwa lemas dalam tong dan dipercayai didera oleh ibu kandung dan bapa tirinya dalam kejadian di Taman Krubong Jaya, Melaka sememangnya memberi kesan hebat kepada masyarakat.