Peserta perhimpunan BERSIH 4.0 bakal berdepan tindakan undang-undang mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 sekiranya mereka tetap mahu berhimpun walaupun tidak mendapat kebenaran pemilik lokasi berhimpun, kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajuddin Md Isa.

Bagaimanapun menurut Tajuddin, orang ramai dibenarkan hadir di sekitar Dataran Merdeka bagi tujuan melihat perbarisan pada Hari Kemerdekaan.

"Boleh datang lihat perbarisan pada Hari Kemerdekaan, Pihak polis akan meningkatkan kawalan keselamatan," katanya dalam mesej ringkas kepada Astro AWANI.

Tajuddin turut menasihati orang ramai yang merancang untuk mengambil bahagian dalam perhimpunan BERSIH 4.0 agar tidak berbuat demikian berikutan ia dikategorikan sebagai demonstrasi haram.

"Tidak perlulah ambil bahagian dalam demo (demonstrasi) haram," kata Tajuddin.

Dalam masa sama, Tajuddin berkata para peniaga di sekitar Kuala Lumpur tidak perlu merasa bimbang dan boleh meneruskan perniagaan mereka seperti biasa.

Sebelum ini DBKL menolak permohonan penganjur BERSIH 4.0 untuk mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka dan Padang Merbok pada 29 dan 30 Ogos ini berikutan lokasi berkenaan telah ditempah untuk acara lain pada tarikh tersebut.

Pada Selasa, polis menerima notis pemberitahuan daripada pihak penganjur, namun dokumen berkenaan tidak lengkap kerana tidak menyertakan kebenaran pemilik lokasi berhimpun.

"Mereka boleh menghantar dokumen itu pada bila-bila masa sebelum tarikh perhimpunan itu diadakan, selepas menerimanya baharu kami akan mempertimbangkan permohonan mereka," kata Tajuddin ketika dihubungi Bernama pada Rabu.

Akta Perhimpunan Aman 2012 antaranya memperuntukkan bahawa penganjur perlu memberi notis penganjuran kepada polis selewat-lewatnya 10 hari sebelum acara, dan denda sebanyak RM10,000 akan dikenakan sekiranya gagal berbuat demikian.

Di bawah akta itu, perhimpunan dilarang diadakan dalam lingkungan 50 meter dari tempat ibadat, stesen janakuasa elektrik, stesen minyak, terminal pengangkutan, tadika dan juga sekolah