NEW YORK: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden berkata beliau akan mengambil bahagian dalam perdebatan dengan lawannya dalam gelanggang pilihan raya dari parti Republikan, Donald Trump.

"Saya bersedia (berdebat dengan Trump), di suatu tempat. Saya tidak tahu bila… saya gembira untuk berdebat dengannya," kata calon Demokrat itu dalam temu bual dengan penyampai berita Howard Stern, pada Jumaat.

Kenyataan itu adalah yang paling jelas Biden mengenai prospek perdebatan presiden.

Biden sebelum ini tidak komited untuk berdebat dengan Trump dan menegaskan, perdebatan itu hanya akan berlaku bergantung pada sikap bekas Presiden AS itu.

Trump pula yang enggan berdebat dengan pesaingnya sebelum meraih kemenangan dalam pemilihan parti Republikan bulan lalu, berubah pendirian sejak beberapa minggu lalu dengan mencabar Biden untuk berdebat dengannya.

Bahkan, Trump turut menawar Biden dari Demokrat untuk bersemuka dengannya pada “bila-bila masa, di mana-mana sahaja dan di tempat mana sekalipun.”

Awal bulan ini, dua penasihat kempen utama Trump menghantar surat kepada sebuah suruhanjaya bebas yang biasanya mengelola acara sedemikian menggesa jadual perdebatan dipercepatkan, mengadakan lebih daripada tiga kali debat biasa dan memulakannya lebih awal dalam kitaran kempen.

Beberapa organisasi media terkemuka AS juga telah menggesa calon-calon agar secara terbuka komited untuk berdebat antara satu sama lain.

Kem Biden bimbang apabila berada di pentas, Trump tidak akan mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh suruhanjaya dan beberapa penasihat Biden berkata, mereka lebih suka untuk tidak mengangkat Trump dengan meletakkannya di kedudukan yang sama dengan penyandang Demokrat itu.

Berdasarkan tinjauan yang dibuat oleh Reuters/ Ipsos awal bulan ini, Biden mendahului dalam kalangan pengundi berdaftar sebanyak 41 peratus hingga 37 peratus berbanding Trump.

Semasa lawatannya ke Las Vegas pada awal Februari lalu, Biden yang ditanya mengenai seruan Trump
yang mahu berdebat dengannya berkata: "Jika saya jadi dia (Trump), saya juga mahu berdebat dengan saya. Dia tidak ada kena mengena."

Biden dan Trump pernah bersemuka dalam dua debat pilihan raya presiden yang disiarkan di televisyen semasa kempen 2020. - Agensi