JOHOR BAHRU: Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin atau dikenali Che'gu Bard tiba di Mahkamah Sesyen di sini pada kira-kira jam 8.50 pagi Selasa.

Beliau yang hadir bersama peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali dijangka berdepan satu lagi pertuduhan mengikut Akta Hasutan 1948 berhubung hantaran mengenai projek kasino di Forest City menerusi media sosial.
 
Pada Isnin, Badrul Hisham, 45, dilaporkan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua tuduhan memfitnah dan menghasut untuk merosakkan nama baik Yang di-Pertuan Agong.

Beliau mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan memfitnah dan menghasut dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim, Siti Aminah Ghazali. - Sinar Harian