KUALA LUMPUR:Sarawak kekal merekodkan kes harian COVID-19 tiga angka dengan 200 kes positif terbaharu dilaporkan pada Khamis.

Daerah Sibu mencatatkan 120 kes baharu diikuti Kanowit (22), Kuching (17), Sebauh dan Bukit Mabong (11), Kapit, Miri dan Sri Aman (empat), Bau (tiga) manakala satu kes di Bintulu, Betong, Julau dan Subis.

Menerusi kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, dua lagi kes kematian di Hospital Sibu dilaporkan menjadikan jumlah kematian di negeri itu meningkat kepada 67 kes.

Kedua-dua kes juga dilaporkan mempunyai ko-morbid darah tinggi, kencing manis dan dislipedimia.

“Kes kematian ke-66 merupakan kes 5,501 melibatkan seorang wanita berusia 72 tahun dan mengalami simptom COVID-19 dan disahkan positif pada 6 Februari lepas.

“Keadaan kesihatannya dilaporkan merosot dan disahkan meninggal dunia pada 17 Februari 2021.

“Manakala kes kematian ke-67 merupakan kes 5,883, seorang lelaki berusia 66 tahun dan disahkan positif pada 8 Februari selepas kesukaran bernafas dan meninggal dunia pada hari sama di Hospital Sibu,” kata kenyataan itu.

Selain itu, 22 kluster masih aktif dengan hanya tiga kluster melaporkan pertambahan kes.

Ia melibatkan Kluster Kampung Sungai Maong di Kuching dengan 10 kes, Kluster Gelong di Kapit dengan 11 kes dan Kluster Nanga Lijan di Julau dengan satu kes.

Antara lain, daerah Sri Aman hari ini kembali dikategorikan sebagai zon kuning selepas hanya merekodkan 16 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari lepas.