KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan daripada 20,988 kes baharu dilaporkan hari ini, sebanyak 20,647 kes adalah kategori 1 dan 2.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan media pada Khamis, jumlah itu bersamaan 98.4 peratus.

Bagi kategori tiga, empat dan lima pula jelas Dr Noor Hisham, sebanyak 341 kes bersamaan 1.6 peratus direkodkan.

Dalam perkembangan sama, jelas Dr Noor Hisham sebanyak 9,860 kes bersamaan 47 peratus daripada jumlah kes baharu tiada sejarah vaksinasi.

"4,995 kes bersamaan (23.8 peratus) telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

"Manakala 6,133 kes bersamaan (29.2 peratus) mempunyai sejarah vaksinasi lengkap," katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 243 kes kematian dilaporkan akibat COVID-19 pada Khamis.

"Ia menjadikan jumlah kes kumulatif kematian meningkat kepada 17,191 kes bersamaan 0.96 peratus.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 198 kes kematian melibatkan warganegara dan 34 kes bukan warganegara," katanya lagi.

Jelasnya lagi, sebanyak 23,473 kes sembuh direkodkan menjadikan jumlah kes kumulatif sembuh sebanyak 1,506,273 bersamaan 84.3 peratus.

Sebanyak 1,417 kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) turut direkodkan. 1,001 daripada jumlah itu disahkan pesakit COVID-19, manakala 416 kes lagi dalam siasatan.

Bagi kes memerlukan bantuan pernafasan pula sebanyak 783 kes, 470 daripadanya disahkan COVID-19, manakala selebihnya masih dalam siasatan.