KUALA LUMPUR:Kementerian Kesihatan memaklumkan terdapat 350 kes pulih yang dilaporkan hari ini dan jumlah itu adalah yang tertinggi sejak permulaan pandemik di negara ini. 

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, ia menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sebanyak 11,372 kes (67.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes). 

Berikut adalah tumpuan sidang media oleh Dr Noor Hisham hari ini; 

1) 660 kes baharu dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara ini sebanyak 16,880 kes.

2) Daripada jumlah itu, dua adalah kes import, 658 adalah kes tempatan dengan Sabah merekodkan jumlah tertinggi iaitu 443 kes.

3) Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 meningkat kepada 5,345 kes.

4) Terdapat 350 kes telah pulih dari COVID-19 hari ini, jumlah tertinggi sejak permulaan pandemik di negara ini.

5) Enam kluster baharu dikenal pasti hari ini, empat di Sabah, satu masing-masing di Selangor dan Pulau Pinang.