Satu lagi kluster baharu dikesan iaitu Kluster Pulau di Kunak, Sabah dengan sembilan kes positif dicatatkan setakat ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, kluster itu dikesan daripada kes indeks kluster (kes ke-9,940) iaitu seorang wanita tempatan berusia 68 tahun di daerah itu.

"Dia ditemui tidak sedarkan diri di rumah dan dibawa ke Hospital Kunak sebelum dirujuk ke Hospital Tawau bagi rawatan serangan jantung, strok dan penyakit hati.

"Ujian saringan COVID-19 kemudian didapati positif pada 13 September. Dia kini dirawat unit rawatan rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, hasil saringan kontak rapat dan pengesanan kes secara aktif mendapati lapan lagi kes positif dikesan pada Selasa membabitkan ahli keluarga wanita itu.

Beliau berkata, sehingga kini, 128 individu telah disaring dalam Kluster Pulau yang terdiri daripada 109 warganegara dan 19 bukan warganegara.

Katanya, lapan daripada mereka disahkan negatif manakala 101 individu lagi masih menunggu keputusan.

"Langkah pencegahan penularan jangkitan seperti proses nyah kuman dan pembersihan telah dijalankan di lokasi-lokasi yang dikenal pasti.

"Punca jangkitan masih di dalam siasatan dan aktiviti mengawal penularan jangkitan bagi kluster ini giat dijalankan di lapangan," katanya.