Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesahkan 31 kes baharu dicatatkan sehingga jam 12.00 tengah hari pada Isnin dengan Kluster Benteng LD, Kluster Bunga dan Kluster Sungai mencatatkan pertambahan kes.

Daripada 28 kes jangkitan tempatan yang dikesan, sebanyak 17 kes baharu dicatatkan dari Kluster Benteng Lahad Datu (LD).

BACA: 31 kes baharu, 28 daripadanya kes tempatan - KKM

KLUSTER BENTENG

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, 16 kes baharu dikesan di Tawau manakala satu kes baharu di Lahad Datu.

"Sehingga 14 September 2020 jam 12 tengah hari, sejumlah 5,402 individu telah disaring dalam Kluster Benteng LD dan sebanyak 17 kes baharu telah dikesan positif COVID-19," katanya dalam kenyataan media pada Isnin.

Di Tawau seramai 3,981 individu telah disaring, 331 kes dikesan positif COVID-19 dengan 16 kes baharu dicatatkan.

Seramai 915 individu negatif dan 2,735 individu masih menunggu keputusan. Manakala di Lahad Datu sebanyak 1,421 individu telah disaring, 89 daripadanya dikesan positif COVID-19 dengan satu kes baharu.

Seramai 907 individu negatif dan 425 lagi menunggu keputusan.

"Daripada jumlah 420 kes positif COVID-19, 185 adalah di kalangan warganegara Malaysia manakala 235 adalah bukan warganegara yang melibatkan negara Filipina (153 kes) dan Indonesia (82 kes)," jelasnya.

KLUSTER BUNGA

Bagi Kluster Bunga pula sebanyak empat kes bahahru dikesan melibatkan kru kapal di Negeri Sembilan.

"Seramai 59 individu telah disaring dalam kluster ini. Empat kes baharu dilaporkan dalam kluster ini melalui persampelan kedua bagi sejumlah 22 kru kapal yang masih berada di atas kapal yang berlabuh di Port Dickson.

"Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 dalam kluster ini adalah 10 kes," katanya.

Sehingga kini, 10 individu telah disaring di Selangor dimana empat daripadanya positif COVID-19 dan enam negatif.

Manakala di Negeri Sembilan pula, 45 individu telah disaring dan enam daripadanya positif COVID-19 serta 39 lagi negatif.

Di Terengganu pula, empat individu telah disaring dan kesemuanya negatif.

"Daripada jumlah saringan dalam kluster, 45 adalah warganegara Malaysia dan 14 adalah bukan warganegara yang terdiri daripada negara India (enam kes), Filipina (enam kes), Singapura (1) satu kes dan Ghana satu kes," ujar Ketua Pengarah Kesihatan itu.

KLUSTER SUNGAI

Satu lagi kluster iaitu Kluster Sungai turut mencatatkan satu kes baharu pada Isnin.

"Sehingga 14 September 2020 jam 12 tengah hari, sejumlah 16,775 individu telah disaring dalam Kluster Sungai dan sebanyak satu (1) kes baharu telah dikesan positif COVID-19," kata Dr Noor Hisham.

Daripada jumlah itu, 16,622 individu telah disaring di Kedah dan 57 daripadanya positif COVID-19.

Manakala 13,834 individu negaitd dan 2,731 masih menunggu keputusan.

Di Pulau Pinang pula, seramai 135 individu telah disaring dan kesemuanya negatif. Manakala di Perlis, 18 individu telah disraing dan hanya satu kes positif dicatatkan.