Kementerian Kesihatan (KKM) mengisytiharkan Kluster Pedas, Negeri Sembilan tamat hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster itu melibatkan 326 kes namun tiada kematian dilaporkan.

"Kluster yang tamat hari ini ialah Kluster Pedas iaitu di Negeri Sembilan dan Melaka.

"Kluster ini melibatkan 326 kes iaitu 14 warganegara Malaysia dan 312 bukan warganegara. Tiada kes kematian dilaporkan," katanya dalam sidang media di sini pada Isnin.

Tambahnya, secara keseluruhan sebanyak 68 kluster sudah tamat tempoh pengawasan dan pemantauan selama 28 hari, sehingga kini.

Katanya, setakat ini, 23 kluster masih aktif di dalam negara.

"Pada hari ini tiada pertambahan kes daripada 23 kluster yang masih aktif. Jumlah kluster yang telah tamat pemantauan adalah 68 kluster," ujarnya.