MENTERI Kewangan Britain Rishi Sunak dilaporkan menggesa kelonggaran sekatan perjalanan untuk menghidupkan semula sektor pelancongan.

Menurut laporan Sunday Times, Sunak telah menulis surat kepada Perdana Menteri Boris Johnson untuk memberi amaran tentang kesan kawalan ketat sempadan Britain.

Gesaan dibuat menjelang pertemuan menteri Kabinet pada Khamis bagi mempertimbangkan sebarang perubahan di United Kingdom (UK).

England pada 19 Julai memansuhkan sekatan supaya warga Britain yang lengkap vaksin dan kembali daripada negara berisiko tidak dikuarantinkan.

Pelawat dari Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat dengan status vaksinasi sama juga akan dikecualikan kuarantin bermula hari ini (2 Ogos).

Bagaimanapun, pelancong masih perlu menjalani ujian saringan yang mahal sebelum berlepas dan sebaik tiba.

Dalam perkembangan sama, syarikat penerbangan dan pelancongan sebelum ini mendesak Menteri Pengangkutan Grant Shapps untuk menambah bilangan negara ke dalam senarai hijau.

Mereka menyatakan status hijau sepatutnya meningkat memandangkan hampir 90 peratus orang dewasa di Britain telah diberikan satu dos vaksin manakala lebih 70 peratus lengkap vaksinasi.

Merea menambah, syarat berterusan untuk ujian saringan COVID-19 yang mahal akan memberi kesan besar kepada sektor penerbangan.