KUALA LUMPUR:Daerah Kota Belud akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) setelah Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan peningkatan kes positif COVID-19 di kawasan tersebut.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPB di daerah itu akan berkuat kuasa selama dua minggu bermula jam 12.01 tengah malam 13 Oktober.

“Pelaksanaan PKPB ini bagi membendung jangkitan dan penularan COVID-19 dalam daerah tersebut serta membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari.

“Sektor ekonomi berkaitan perkhidmatan perlu (essential service) termasuk kilang-kilang dan rantaian yang berkaitan dalam perkhidmatan perlu adalah dibenarkan,” katanya dalam sidang media secara maya pada Ahad.

Mengulas mengenai operasi perniagaan di kawasan tersebut, Ismail Sabri memaklumkan premis perniagaan seperti kedai runcit dan perkhidmatan perlu dibenarkan beroperasi.

Bagaimanapun bagi premis jualan makanan, operasi dihadkan kepada pembelian pandu lalu sahaja.

Penguatkuasaan PKPB tersebut turut melibatkan aktiviti sukan dan rekreasi termasuk rumah ibadat serta institusi pendidikan yang terpaksa ditutup sepanjang tempoh berkenaan.

Sabah ketika ini mencatatkan kes penularan yang tinggi berdasarkan angka kes harian yang masih berada pada tiga angka.