KUALA LUMPUR:Kerajaan memutuskan untuk menamatkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di satu lokaliti di Persiaran Paya Terubong, Relau, Pulau Pinang pada hari ini.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sidang khas pada Rabu bersetuju untuk menamatkan PKPD di kawasan tersebut lebih awal daripada yang dijadualkan.

“KKM memaklumkan terdapat satu lokaliti di Persiaran Paya Terubong, Relau ini iaitu Kondo Sierra East yang penghuninya telah disaring secara keseluruhan dan tiada kes positif COVID-19 telah direkodkan.

“Penilaian risiko oleh KKM juga mendapati majoriti penduduk kondo tersebut tidak ada kaitan dengan kluster-kluster yang dilaporkan,” katanya pada satu kenyataan pada Rabu.

Dalam perkembangan berhubung operasi pematuhan PKPP, beliau berkata PDRM telah menahan 230 individu pada Selasa atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kesemua 230 individu dikompaun.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (76), aktiviti pusat hiburan (71), tidak memakai pelitup muka (41), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (37) dan lain-lain (5),” katanya.

Menerusi Operasi Benteng yang dijalankan pula, beliau berkata 33 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan.

Katanya lagi, lima kenderaan darat juga berjaya dirampas.