KUALA LUMPUR :Kementerian Kesihatan (KKM) mengenal pasti tiga lagi kluster baharu pada Rabu, dikenali sebagai Kluster Karamunting, Kluster Saga dan Kluster Haven.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, kesemua kluster baharu ini dikenal pasti di Sabah.

Berikut adalah perincian tiga kluster tesebut;

1. KLUSTER KARAMUNTING
Kluster baharu ini melibatkan daerah Sandakan di Sabah. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-18,492) telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 15 Oktober dan telah dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent.

Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 20 lagi kes positif COVID-19. Kesemua kes tersebut dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah Kompleks Sukan Sandakan dan Dewan Rafflesia Sandakan.

Sehingga 11 November, sejumlah 30 individu telah disaring, di mana:
• 21 kes dikesan positif COVID-19 (enam kes baharu) 
• Sembilan individu dikesan negatif.

2. KLUSTER SAGA
Kluster ini melibatkan daerah Kota Kinabalu, Sabah. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-41,492) telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 8 November.
Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak lapan lagi kes positif COVID-19. Kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth.

Sehingga 11 November, sejumlah 56 individu telah disaring, di mana:
• Sembilan kes dikesan positif COVID-19 (5 kes baharu)
• 47 individu masih menunggu keputusan.

3. KLUSTER HAVEN
Kluster baharu ini melibatkan daerah Lahad Datu di Sabah. Lima kes indeks bagi kluster ini telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu-individu bergejala pada 5 November.

Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak enam lagi kes positif COVID-19.

Kes-kes ini dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah Program Perumahan Rakyat (PPR) Payang dan Hospital Lahad Datu.

Sehingga 11 November, sejumlah 140 individu telah disaring, di mana:
• 11 kes dikesan positif COVID-19 (satu kes baharu)
• 112 individu dikesan negatif
• 17 individu masih menunggu keputusan.