KUALA LUMPUR: Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) menggesa kerajaan agar membuat semakan dan meneliti Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara dalam usaha melindungi golongan itu.

Pengerusi Biro Wanita, Keluarga dan Penawar Pemadam Datuk Jamelah A. Bakar berkata dasar itu, yang didukung Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), bertanggungjawab memastikan setiap kanak-kanak mendapat perlindungan daripada pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi.

Beliau berkata dasar itu mampu berfungsi sepenuhnya apabila rakyat berupaya menjadi pemangkin untuk mempertingkat kesedaran dan komitmen semua pihak dalam melindungi kanak-kanak.

"Semakan terhadap dasar ini dan pemantauan pelaksanaannya perlu kita teliti supaya nyawa kanak-kanak terpelihara," menurutnya dalam kenyataan pada Rabu.

Jamelah juga menggesa Kementerian Pendidikan dan JKM agar mempertingkat kerjasama dalam memantau kanak-kanak yang ditempatkan di bawah jagaan waris apabila ibu bapa mereka dipenjarakan.

"Perubahan emosi dan fizikal kanak-kanak boleh dikesan oleh guru atau pegawai berkaitan, tindakan segera boleh dilaksanakan demi keselamatan individu terbabit," katanya mengulas kes kematian seorang kanak-kanak lelaki dipercayai akibat didera ahli keluarga terdekat.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat pada Selasa, mendedahkan kanak-kanak berumur empat tahun itu yang meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail, Johor pada Isnin dipercayai didera selepas terdapat kesan kecederaan teruk akibat pukulan dan cucuhan benda panas hampir di seluruh badan mangsa.

Mengulas lanjut, Jamelah berkata gerakan advokasi menerap dan memupuk kesedaran kepentingan melindungi kanak-kanak perlu dilaksana secara berkala dalam kalangan komuniti setempat bersama pertubuhan bukan kerajaan tempatan di seluruh negara dengan sokongan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kementerian Perpaduan Negara.

Katanya seluruh penggerak Komuniti Rukun Tetangga di bawah Akta Rukun Tetangga 2012 boleh digembleng supaya memiliki ilmu dan kepakaran berkaitan penderaan kanak-kanak dalam komuniti setempat.

Beliau berkata pada masa sama, kementerian dan agensi berkaitan perlu memperkasa Pusat Aktiviti Kanak-Kanak kendalian JKM dalam usaha menjadi tempat perlindungan, intervensi serta sumber pembelajaran kepada mangsa dan aktivis sosial selain menghebahkan penubuhannya kepada komuniti setempat.

-- BERNAMA