IPOH: Perak merekodkan peningkatan jumlah kumulatif kes demam denggi iaitu 457 kes setakat ini berbanding 96 kes dalam tempoh sama tahun lalu, iaitu peningkatan sebanyak 361 kes atau 376.04 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri A Sivanesan berkata, bagaimanapun jumlah kes demam denggi pada Minggu Epidemiologi (ME) kesembilan tahun ini iaitu 26 Februari sehingga 4 Mac, mencatatkan penurunan kepada 63 kes berbanding 87 kes pada minggu sebelumnya.

Katanya, penurunan kes sebanyak 27.6 peratus itu menunjukkan situasi demam denggi di Perak masih terkawal selain ia tidak merekodkan sebarang kes kematian.

Menurutnya, selain faktor cuaca hujan yang tidak menentu, musim cuti persekolahan juga menjadi salah satu penyumbang kepada peningkatan jumlah kes demam denggi di negeri itu.

“Sebagaimana pengalaman kita yang lepas, apabila tiba sahaja musim cuti sekolah akan berlaku pergerakan individu-individu dari negeri luar ke Perak, misalnya dari Selangor.

“Selangor tidak terkecuali daripada menghadapi kes demam denggi. Contohnya, ada individu dari kawasan titik panas demam denggi di Selangor, kemudian datang ke Perak.

“Apabila individu itu dirawat di Perak (selepas mengalami demam), ia akan direkodkan sebagai kes demam denggi di Perak, dan bukan Selangor.

"Justeru, perkara itu antara yang menyumbang kepada peningkatan angka bagi kes demam denggi di Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Pejabat Jabatan Tenaga Kerja di Bangunan Persekutuan dekat sini pada Isnin.

Dalam pada itu, Sivanesan menasihatkan orang ramai di negeri itu untuk sentiasa berwaspada dan menjaga kebersihan kawasan persekitaran bagi menghindari pembiakan nyamuk Aedes.

“Individu dan masyarakat diminta melindungi diri daripada gigitan nyamuk dengan memakai pakaian berlengan panjang dan berseluar panjang.

"Sekiranya mengalami demam segera dapatkan pemeriksaan kesihatan di klinik atau hospital terdekat,” ujarnya.

Sebelum ini Jabatan Kesihatan (JKN) Perak menerusi Laporan Mingguan Bilik Gerakan Denggi Negeri memaklumkan sebanyak 10 daerah di negeri itu merekodkan peningkatan peratusan kes bagi ME kelapan, berbanding tahun lalu.

Daerah Kinta merekodkan 66.2 peratus, Kerian (37 peratus), Kampar dan Manjung (masing-masing 32 peratus), Larut Matang dan Selama 21 peratus), Batang Padang dan Muallim (masing-masing 16 peratus), Hulu Perak dan Kuala Kangsar (masing-masing 11 peratus), serta Bagan Datuk (5 peratus).

Tambahnya, daripada jumlah itu Daerah Kinta merekodkan 18 lokaliti wabak denggi sementara Hulu Perak merekodkan satu lokaliti iaitu di Taman Sinaran.