Inisiatif kerajaan untuk menambah jumlah perkhidmatan pengangkutan awam termasuk melalui projek pembinaan rel yang termaktub dalam Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030 disifatkan sebagai satu inisiatif positif.

Bagaimanapun, Pemerhati Pengangkutan Awam, Wan Agyl Wan Hassan berpendapat inisiatif yang akan dibina dalam bandar itu kurang memberikan impak positif bagi penduduk luar bandar.

Wan Agyl turut mempersoalkan bagaimana inisiatif ini akan dilaksanakan kerana dalam pembentangan Belanjawan 2020, tiada disebut secara khusus mengenai pengembangan pengangkutan rel penumpang.

“Apabila bercakap untuk mengembangkan perkhidmatan pengangkutan rel saya setuju tetapi adakah ia akan tertumpu di bandar sahaja? Bagaimana pula kawasan luar bandar?

“Tambahan itu, pembentangan bajet tahun lepas dan tahun ini tidak mengemukakan isu untuk mengembangkan pengangkutan rel penumpang.

“Betul mahu kembangkan perkhidmatan rel buat penumpang tetapi pembentangan Belanjawan 2020 khususnya bagi ‘Development Expenditure’, tiada isu tentang keinginan untuk menyambungkan inisiatif kerajaan terdahulu iaitu MRT3 yang sekali gus melengkapkan keseluruhan sistem rel pengangkutan bandar,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Jumaat.


BACA: Sistem rel negara perlu diguna sepenuhnya - Tun Mahathir

Sementara itu, Wan Agyl turut menyatakan tidak banyak perkara baharu dalam Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030 yang dilancarkan pada Khamis.

“Tiada perkara baharu dalam dasar tersebut, ini kerana jika kita lihat lima teras utama itu adalah polisi sedia ada dan ia hanya disatukan dalam satu dokumen.

“Antara yang baharu hanyalah dari segi memperluas jejak global dan mempromosikan pengantarabangsaan perkhidmatan pengangkutan,” ujarnya.

Terdahulu pada Khamis, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyarankan agar penggunaan rel di negara ini perlu digunakan lebih kerap tidak kira sama ada untuk tujuan penumpang atau membawa barangan seperti yang termaktub dalam DPN 2019-2030.


Astro AWANI akan mendapatkan reaksi dari Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengenai isu ini dan mengulas lanjut mengenai perkembangan industri rel negara.