TEMERLOH: Dua penganggur ditahan bersama dadah dianggarkan bernilai lebih RM9,000 dalam sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Kenangan, Lanchang di sini, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, suspek berusia 42 dan 46 tahun ditahan kira-kira jam 11 pagi oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh yang menjalankan Op Tapis di lokasi itu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas suspek, polis menemui dan merampas dadah jenis heroin dengan anggaran berat keseluruhan 146.47 gram (RM7,323) dan 8.67 gram syabu (RM1,734).

"Susulan penahanan suspek yang juga penganggur itu, polis turut menyita sebuah motosikal jenis Honda RSX yang digunakan," katanya.

Mazlan berkata, semakan rekod mendapati lelaki berusia 42 tahun memiliki enam rekod lampau berkait kes dadah di bawah Seksyen 39B, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Suspek juga merupakan individu dikehendaki berkait kes memiliki dadah yang dilaporkan di Sri Petaling, Kuala Lumpur.

"Suspek kedua memiliki lima rekod lampau juga di bawah Seksyen 39B, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki itu juga didapati positif dadah ketika ditahan.

"Ekoran penahanan suspek dan rampasan dadah itu, polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 39B, Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952," katanya. - Sinar Harian