KOTA KINABALU: Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan para petugas wajib mengemukakan keputusan ujian calitan COVID-19 tiga hari sebelum DUN Sabah bersidang.

Selain ujian calitan, kesemua mereka perlu lengkap dua dos vaksin sebagai SOP utama bagi persidangan selama tiga hari bermula 24 Ogos ini.

Menurut Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M. Yahya, semua pihak perlu mengikuti SOP yang ditetapkan ini bagi memastikan tiada penularan jangkitan COVID-19 sepanjang persidangan.

"Semua ADUN dan para petugas yang terlibat dalam persidangan pada kali ini wajib mengemukakan keputusan ujian saringan COVID-19 kepada pihak kami tiga hari sebelum bersidang.

"Di samping itu, lengkap dua dos vaksin Covid-19 juga adalah diwajibkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengikuti Majlis Perasmian Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan DUN seluruh negara secara maya, pada Isnin.

Mengulas lanjut, ujar Kadzim, antara isu yang dibawa dari Sabah ialah usaha bagi meningkatkan keupayaan capaian jalur lebar di negeri ini.

Ini kerana katanya, keupayaan capaian jalur lebar agak kurang memuaskan dan ia tidak memungkinkan persidangan DUN dijalankan secara hibrid.

Selain itu, mengenai persidangan itu, Kadzim memaklumkan, ia adalah persidangan tahunan yang bertujuan untuk memperbaiki inisiatif, prosedur di Parlimen dan DUN.

"Persidangan disertai para Speaker DUN, Parlimen serta Dewan Negara dan Dewan Rakyat iaitu seramai 16 orang... ini adalah program tahunan.

"Tujuan persidangan ini adalah untuk membolehkan para Speaker Parlimen dan DUN bertukar pendapat serta pandangan bagaimana untuk memperbaiki, inisiatif, prosedur di Parlimen dan juga negeri-negeri," jelas beliau.