PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini mengisytiharkan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor tidak mempunyai kuasa untuk membuat enakmen yang membenarkan Mahkamah Syariah negeri mengkaji semula fatwa yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama negeri.

Panel sembilan hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan sebulat suara berkata mahkamah mendapati Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 tidak mengikut perlembagaan dan tidak sah kerana ia merupakan peruntukan yang DUN Selangor tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

"Oleh itu, petisyen oleh SIS Forum (Malaysia) dibenarkan tanpa sebarang perintah mengenai kos," kata Tengku Maimun.

Panel hakim itu turut dianggotai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Rohana Yusuf; Hakim Besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed; Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Puan Sri Zaleha Yusof, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Rhodzariah Bujang.

Pada 22 Sept tahun lepas, Mahkamah Persekutuan memberikan kebenaran kepada SIS untuk meneruskan tindakan perundangannya di Mahkamah Persekutuan menerusi Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan.

Tengku Maimun berkata beliau perlu menjelaskan pada awal penghakiman ini bahawa mahkamah itu tidak mengambil kira tentang prosedur atau kesahihan substantif Fatwa dan tidak juga diminta untuk mempertimbangkan sama ada mahkamah secara amnya tidak berkuasa untuk menjalankan penilaian sedemikian di bawah klausa (1A) Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata petisyen tersebut hanya melibatkan persoalan sama ada DUN Selangor diberi kuasa untuk menggubal Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

"Oleh itu, saya tidak membuat sebarang ulasan atau keputusan mengenai kesahihan substantif atau prosedur Fatwa," katanya.

Tengku Maimun seterusnya berkata, mahkamah telah secara berturut-turut dan konsisten dalam keputusannya dalam kes Semenyih Jaya dan kes lain, termasuk Indira Gandhi, bahawa kuasa kehakiman persekutuan kekal hanya di Mahkamah Sivil.

Beliau berkata peguam pempetisyen (SIS Forum) berhujah bahawa semakan kehakiman adalah satu aspek unik dan eksklusif kuasa kehakiman yang diberikan kepada Mahkamah Tinggi Sivil.

"Peguam itu juga berhujah bahawa Mahkamah Syariah atas dasar perlembagaan, tidak berupaya untuk melaksanakan kuasa kehakiman atas sebab mereka tidak berkongsi jaminan perlembagaan kebebasan kehakiman yang sama seperti Mahkamah Sivil yang tinggi.

"Semakan kehakiman adalah ciri unik bagi Mahkamah Sivil disahkan oleh mahkamah ini yang memutuskan dalam kes Semenyih Jaya dan Indira Gandhi," katanya.

Tengku Maimun berkata tidak jelas dalam rekod bahawa Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 bertujuan untuk meliputi perkara undang-undang Islam sahaja dan bukan perkara dalam bidang undang-undang awam dan/atau kuasa undang-undang awam.

"Apabila peruntukan itu dibuat secara umum, dan tanpa had, mahkamah ini tidak dibenarkan, sama ada untuk meminda atau membuat semula statut itu. Satu-satunya kewajipannya adalah membatalkannya dan menyerahkannya kepada Dewan Undangan Negeri Selangor, jika perlu, menggubalnya semula konsonan dengan perkara 1 Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan," katanya dan menambah dalam petisyen sekarang tidak dapat berbuat demikian.

Tengku Maimun berkata cukup untuk menyatakan bahawa tafsiran frasa 'orang yang menganut agama Islam' dan membaca tujuan perkara 1 mencadangkan bahawa item 1 tidak boleh mempertimbangkan, dan tidak sekali-kali bertujuan, untuk memberikan kuasa semakan kehakiman kepada Mahkamah Syariah. hanya dengan mentakrifkan pencelah itu sebagai seorang 'Muslim'.

"Semakan kehakiman, mengikut sifatnya, melibatkan penyeliaan badan pentadbiran dengan merujuk kepada kuasa undang-undang awam yang terletak pada mereka. Tidak mengambil kira agama.

"Percubaan untuk memberikan bidang kuasa semakan kehakiman kepada Mahkamah Syariah dengan kononnya untuk mentakrifkan 'Majlis' sebagai 'Muslim' adalah di luar perkara itu walaupun Seksyen 2 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, dan seksyen 66A yang sama, oleh itu bertentangan dengan perlembagaan," katanya ketika menyampaikan keputusan itu pada prosiding secara maya hari ini.

SIS Forum memohon kebenaran untuk memulakan cabaran itu, memohon untuk mengisytiharkan sebagai tidak sah Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 yang menyatakan bahawa Mahkamah Tinggi Syariah boleh, atas permohonan seseorang, mempunyai bidang kuasa untuk memberikan kebenaran dan mendengar permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan yang dibuat oleh majlis atau jawatankuasa yang menjalankan fungsi di bawah enakmen tersebut.

SIS Forum memfailkan permohonan itu pada 21 Jan 2020 dan menamakan Kerajaan Negeri Selangor sebagai responden selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakimannya untuk mencabar keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar.

Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu Datuk Nordin Hassan (kini hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan bahawa mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa berkaitan undang-undang Syariah, dan menambah bahawa isu fatwa itu berkaitan dengan undang-undang Syariah dan berada di bawah bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah.

Hakim itu berkata Seksyen 66A adalah satu cara untuk mendapatkan semakan kehakiman terhadap jawatankuasa fatwa di Mahkamah Tinggi Syariah.

Peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar mewakili SIS Forum manakala Penasihat Undang-undang Negeri Selangor Datuk Salim Soib @ Hamid bertindak bagi pihak kerajaan Selangor dan peguam Zainur Zakaria dan Mohamed Haniff Khatri Abdulla, mewakili Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), sebagai pencelah dalam kes tersebut.

-- BERNAMA