Awal bulan Oktober lalu pihak NCAP Eropah NCAP) telah mendapati bahawa Mazda MX-5 berhak untuk diberikan 4-bintang hasil daripada ujian-ujian perlanggaran yang telah diberikan kepada roadster tersebut.

[Lihat video ujian perlanggaran untuk Mazda MX-5 di akhir artikel ini]

Mengikut NCAP, model roadster ini menggabungkan prestasi keselamatan keseluruhan yang baik beserta perlindungan untuk pejalan kaki yang sangat berkesan kerana ciri bonet reaktif yang dipasang standard. Namun, mereka dapati bahawa tekanan dalaman beg udara pemandu tidak cukup untuk mengelakkan kepala pemandu terkena stereng. Pemeriksaan pada beg udara dan penelitian rakaman video kelajuan tinggi menunjukkan hentakan ini. Walaupun begitu, maklumat daripada patung perlanggaran adalah baik, oleh itu perlindungan bagi pemandu didapati mencukupi.



Ujian perlanggaran tepi kepada tiang pula mendedahkan bahawa perlindungan pada bahagian dada pemandu sekadar ‘marginal’ atau kurang meyakinkan. Perlindungan kepada bahagian-bahagian badan yang lain pula adalah bagus.



Antara faktor utama penyebab Mazda MX-5 ini tidak mendapat 5-bintang adalah ketiadaan sistem brek autonomous (AEB) yang disebut pihak NCAP sebagai semakin kerap dilihat sebagai ciri standard – ataupun pilihan tambahan – bagi model-model kereta dengan harga sama (di pasaran Eropah). Walaupun begitu, pesaing rapat MX-5 iaitu Audi TT juga diberikan markah 4-bintang kerana ketiadaan sistem AEB.

Spesifikasi model diuji
Kereta: Mazda MX-5 1.5-liter, pemanduan belah kanan (RHD)
Badan: Roadster 2-pintu
Tahun pengeluaran: 2015
Berat: 1,030kg

Protokol kelajuan ujian
Seluruh hadapan, ke dinding kukuh: 50km/j
Offset hadapan ke objek tidak kukuh: 64km/j
Tepi, daripada objek bergerak: 50km/j
Tepi, ke tiang kukuh: 32km/j
Ujian ‘whiplash’: 16 dan 24km/j
Kepala pejalan kaki ke bonet: 40km/j
Kaki pejalan kaki ke bampar hadapan: 40km/j