Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perak Paul Yong Choo Kiong mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan merogol seorang wanita bulan lalu.

Pengakuan dibuat selepas pertuduhan ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh itu dibaca di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Terdahulu, Yong yang juga Pengerusi Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu Perak tiba di mahkamah sekitar jam 9 pagi dengan menaiki kenderaan jenis BMW.

Pada 8 Julai lalu, seorang pembantu rumah warga Indonesia berumur 23 tahun membuat laporan polis mendakwa dirogol Yong di rumah majikannya itu, di Meru.

Sehari selepas laporan dibuat, pihak polis menangkap Exco berkenaan yang kemudian dibebaskan dengan jaminan polis setelah siasatan selesai dalam tempoh 24 jam.


BACA: 'Saya tidak akan bercuti, saya bukan penjenayah' - Exco Perak

Mengikut pertuduhan yang dibuat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan, Yong didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bilik di tingkat atas rumahnya di Meru Desa Park, pada 7 Julai, antara 8.15 malam hingga 9.15 malam.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Azhar Mokhtar, Ainul Wardah Shahidan dan Naidatul Athirah Azman manakala Yong diwakili peguam Farhan Sapian, ADUN Malim Nawar Leong Cheok Keng, Anggota Parlimen Bukit Gelugor Ram Karpal Singh serta Anggota Parlimen Jelutong RSN Rayer.

Azhar yang juga Pengarah Pendakwaan Jabatan Peguam Negara Negeri Perak sebelum itu memohon mahkamah supaya tidak membenarkan tertuduh diikat jamin kerana khuatir akan mengganggu saksi.

Peguam Ram Karpal Singh bagaimanapun berkata saksi (mangsa) telah ditempatkan di tempat yang selamat dan memohon mahkamah membenarkan jaminan dengan alasan Yong mempunyai empat anak yang masih bersekolah dan menuntut di universiti selain telah beri kerjasama yang baik kepada polis serta hadir di mahkamah.

Hakim Norashima kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Sept ini sebagai tarikh pengurusan kes.



Polis memperketatkan kawalan di sekitar mahkamah bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Sekumpulan penyokong Yong turut dilihat berkumpul di hadapan pintu masuk mahkamah sejak 8.30 pagi selain kira-kira 20 pengamal media yang menanti kehadiran Yong.

Pada Khamis, Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menasihatkan Yong supaya bercuti daripada tugasan rasminya bagi menghormati proses undang-undang.

Katanya, perkara itu termasuklah tidak mengambil bahagian dalam sebarang mesyuarat yang melibatkan proses membuat keputusan, sehingga perbicaraan kes selesai.

Dalam perkembangan berkaitan, Speaker DUN Datuk Ngeh Koo Ham membuat laporan polis berhubung maklumat terbaharu yang diterima berkaitan dakwaan kes rogol melibatkan Yong di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh malam tadi.