KOTA KINABALU : Kerajaan negeri Sabah diharap dapat mengadakan majlis penghormatan khas buat Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Lt Kol Awang Askandar Ampuan Yaacub yang terkorban ketika misi pendakiannya di Gunung Everest, Himalaya.

Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, Allahyarham sebagai anak jati Sabah telah membawa nama baik negeri ini bagi misi menawan Gunung Everest sehingga terkorban.

"Selain membawa bendera Malaysia, Allahyarham juga dikatakan turut membawa bendera negeri Sabah untuk dikibarkan semasa menawan gunung tertinggi di dunia itu.

"Justeru G57 berharap agar kerajaan Sabah dapat menunggu jenazah dan mengadakan majlis penghormatan khas rasmi untuk Allahyarham.

"Saya sendiri akan cuba menghantar cadangan ini kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor agar Allahyarham diberikan penghormatan khas malah dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sedang berlangsung ketika ini juga boleh diusulkan penghormatan tersebut," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Tambah Zulkarnain, selain misi mengharumkan nama negara dan negeri dengan menawan gunung tertinggi dunia itu, Allahyarham juga amat berjasa kerana berkhidmat dengan APM.

"G57 berharap seluruh rakyat khususnya di Sabah turut sama sedekahkan bacaan surah Al Fatihah kepada Allahyarham.

"Dalam masa sama mari kita turut berdoa agar rakan Allahyarham iaitu Muhammad Hawari Hashim, 33, yang hilang dalam misi itu dapat ditemui dengan keadaan selamat," katanya.

Sebelum itu, G57 juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Sabah yang bersetuju menanggung kos penghantaran pulang jenazah Allahyarham ke Sabah.

Awang Askandar, 56 yang berasal dari Kampung Benoni, Papar dilaporkan meninggal dunia pada Jumaat, jam 10.30 pagi waktu Nepal (12.45 tengahari waktu Malaysia) selepas terjatuh pada malam sebelumnya. - Sinar Harian