Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendakwa, daripada 101 perolehan kerajaan secara rundingan terus yang didedahkan oleh Menteri Kewangan Perikatan Nasional (PN), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hanya 0.07 peratus atau RM352 juta dibuat ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Sehubungan itu, Guan Eng yang menerajui Kementerian Kewangan di era pentadbiran PH menyifatkan, dakwaan Tengku Zafrul bahawa projek rundingan terus yang dibuat zaman PH sebanyak 1.4 peratus atau RM6.61 bilion daripada keseluruhan perolehan kerajaan sebagai ‘penipuan terbesar’.

“Kebanyakan projek rundingan terus bukan inisiatif daripada PH tetapi adalah projek yang diwarisi atau sambungan dari zaman BN (Barisan Nasional). Bezanya, PH telah meneruskan projek-projek ini dengan pemotongan kos yang menghasilkan penjimatan yang ketara.

“Apa yang mengejutkan rupa-rupanya, projek rundingan terus di bawah inisiatif PH bukan RM6.61 bilion seperti yang diuar-uarkan tetapi sebenarnya RM352 juta.

"Baki RM6.258 bilion ialah projek diwarisi dan sambungan dari zaman BN yang terpaksa diteruskan PH,” katanya dalam sidang media di Parlimen pada Khamis.

Pada Isnin, Tengku Zafrul memaklumkan kepada sidang Dewan Rakyat, rekod menunjukkan Kementerian Kewangan ketika diterajui Lim Guan Eng sebelum ini, telah meluluskan 101 projek berkenaan secara rundingan terus.

Namun, beliau menjelaskan, dalam keadaan tertentu, kaedah perolehan secara rundingan terus dibenarkan dengan kelulusan Kementerian Kewangan berdasarkan kriteria tertentu seperti melibatkan keperluan negara yang mendesak.

BACA: Dewan Rakyat 'panas' isu kelulusan 101 projek bernilai RM6.61 bilion


BACA: 101 Projek: Kementerian Pengangkutan dahului senarai, beri tender dengan nilai terbesar RM4.47 bilion

BACA: Henti politik isu Projek 101: Saya hanya menjawab soalan - Zafrul


Susulan pendedahan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan, pihaknya akan mendapatkan senarai 101 projek daripada Kementerian Kewangan yang dikatakan diberi secara runding terus, semasa era PH.

Sementara itu, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan mempertahankan PH dengan mendakwa, semasa pakatan itu memerintah selama 22 bulan, sebanyak 99.93 peratus daripada jumlah keseluruhan perolehan telah ditawarkan melalui kaedah tender dan bukannya rundingan terus.

“Keraguan kami telah ternyata dan terbukti dengan senarai 101 projek bernilai RM6.61 bilion yang didedahkan oleh Kementerian Kewangan semalam.

“Kementerian Dalam Negeri (Muhyiddin Yassin) meminta RM517.7 juta. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (Zuraida Kamaruddin) meminta RM170.8 juta. Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (Azmin Ali) meminta RM1.2 juta dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (Rina Harun) meminta RM7.6 juta,” kata Guan Eng lagi.

Sehubungan itu, Guan Eng menyerahkan kepada rakyat untuk membuat penilaian sendiri mengenai kerajaan yang mendokong prinsip akauntabiliti dan ketelusan.

“Biar fakta berbicara dengan sendirinya. Berani kerana benar. Amar makruf nahi mungkar,” kata Lim.

BACA: 101 Projek: Tun M minta Tengku Zafrul dedahkan siapa yang dapat 'nikmat istimewa'

B

ACA: 101 Projek: Lim Guan Eng khuatir SPRM 'double standard', jadi senjata politik pihak tertentu