KUALA LUMPUR: Hanya 3,465 atau 1.4 peratus daripada lebih 245,000 petugas kesihatan yang sudah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin, dijangkiti COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, majoriti kes membabitkan kategori 1 dan 2 iaitu masing-masing tiada gejala dan bergejala ringan, yang membuktikan bukti keberkesanan vaksin.

"Seramai 245,983 petugas kesihatan telah menerima dos vaksin lengkap. Daripada jumlah itu, hanya 3,465 atau 1.4 peratus dijangkiti COVID-19.

"Daripada jumlah itu, 2,327 atau 67.2 peratus dalam kategori 2 manakala 1,132 atau 37.6 peratus dalam kategori 1," katanya menerusi Twitter.


Tambah Dr Noor Hisham, masing-masing hanya tiga petugas kesihatan yang dijangkiti COVID-19 berada di kategori 3 (radang paru-paru) dan 4 (perlu bantuan oksigen) dan tiada yang berada di kategori 5 (rawatan ICU).

"Vaksin menyelamatkan nyawa dan kita boleh belajar untuk meneruskan hidup dengan COVID-19 di sekeliling kita," ujarnya.