KUALA LUMPUR: Jumlah kes COVID-19 di Malaysia setakat Rabu, 8 September 2021 adalah berjumlah 1,900,467, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, hanya 8.7 peratus atau 166,379 kes membabitkan individu yang sudah menerima vaksin lengkap.

“1,734,088 kes (91.3 peratus) adalah terdiri daripada mereka yang tiada sejarah vaksinasi atau tidak lengkap divaksinasi.

“Daripada jumlah itu, 1,449,632 kes (76.3 peratus) adalah terdiri daripada mereka yang tiada sejarah vaksinasi dan 284,456 kes (15.0 peratus) adalah terdiri daripada mereka yang tidak lengkap divaksinasi,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam kenyataan sama, Dr Noor Hisham berkata, daripada 19,733 kes harian yang dilaporkan pada Rabu, hanya 2.2 peratus atau 429 kes adalah kategori 3, 4, dan 5.

BACA: 19,733 kes COVID19 hari ini, Sarawak kekal tertinggi

“Manakala 19,304 kes (97.8 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2,” ujarnya.

Daripada pesakit kategori 1 dan 2, 64.7 peratus daripada mereka tidak pernah menerima vaksin atau tidak lengkap vaksinasi dan hanya 35.3 peratus sudah lengkap menerima dua dos vaksin.

Manakala daripada pesakit kategori 3 hingga 5 pula, 77.2 peratus daripada mereka tidak pernah menerima vaksin atau tidak lengkap vaksinasi dengan hanya 22.8 peratus sudah lengkap divaksin.

“Situasi ini jelas menunjukkan mereka yang lengkap divaksinasi adalah lebih terlindung dan juga kurang berisiko mendapat jangkitan COVID-19 yang teruk. Perkembangan positif ini dapat terus dilihat sekiranya Malaysia telah mencapai kadar vaksinasi yang lebih tinggi.

“Justeru, kepada mereka yang belum mengambil vaksin COVID-19, adalah dinasihatkan untuk segerakan pengambilan vaksin bagi melindungi orang di sekeliling daripada kemungkinan dijangkiti COVID-19.

“Pada masa yang sama masyarakat diingatkan untuk terus mematuhi SOP bagi mengurangkan risiko dijangkiti COVID-19,” katanya.