Hasrat sepasang suami isteri untuk menjemput anak mereka di kolej tidak kesampaian apabila mereka terlibat dalam nahas jalan raya di Batu 15 Lebuh Raya Timur Barat Jeli-Gerik di sini, hpada Jumaat.

Kejadian sekitar jam 1 petang yang melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah kenderaan pacuan empat roda itu turut mengakibatkan lapan yang lain cedera.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Mohamad Shahril Mohamad Sa'aid, pasangan itu maut di tempat kejadian manakala lapan lagi yang mengalami kecederaan dikejarkan ke Hospital Jeli untuk rawatan lanjut.

"Mangsa yang maut adalah pemandu Proton Exora, Mohzan Othman, 54 dan penumpang hadapan kereta berkenaan yang juga isteri Mohzan, Rose Haiza Ishak, 44.

Pihak bomba sedang membantu mengangkat mangsa. - Foto JBPM

"Manakala tiga penumpang Proton Exora, Noriman Khairini Mohzan, 7, Norzila Zulaikha Mohzan, 10, Norzaiti Izati Mohzan, 17, mengalami kecederaan.

Turut cedera ialah pemandu serta empat penumpang kenderaan pacuan empat roda berkenaan.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan MPV yang dinaiki lima orang sekeluarga hilang kawalan sebelum bertembung dengan pacuan empat roda dari arah bertentangan.

Mangsa dibawa ke Hospital Jeli. - Foto Astro AWANI/Vivi Sumanti

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Jeli untuk bedah siasat.

Difahamkan juga pasangan suami isteri berkenaan sedang dalam perjalanan dari Jitra, Kedah ke Pasir Mas untuk menjemput anak mereka yang sedang mengikuti pengajian di Kolej Kemahiran Tinggi Mara Pasir Mas.