KUCHING: Isteri bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud merayu kepada rakyat Sarawak agar menghentikan tuduhan dan sangkaan jahat terhadapnya.

Dalam satu surat terbuka kepada media sekitar jam 1.21 pagi ini, Toh Puan Raghad Kurdi Taib berkata, beliau sedar tersebarnya berita mengenai dakwaan insiden melarikan Abdul Taib dari sebuah hospital pakar di sini.

"Sejak beberapa hari lalu, tersebar imej dan berita di portal dan media sosial yang mencemarkan imej dan nama baik saya sebagai isteri kepada bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

"Satu-satunya kebimbangan saya pada masa ini ialah kesejahteraan suami saya, Tun Taib.

"Saya dengan rendah hati memohon tolong hentikan semua andaian dan tuduhan jahat ini terhadap saya kerana keutamaan saya hanya untuk menjaga suami saya pada ketika ini," katanya.

Raghad turut merayu agar semua pihak tidak percaya akan sebarang khabar angin bahawa beliau akan melarikan diri.

"Walaupun saya adalah orang asing, tetapi sekarang saya rakyat Malaysia dan akan sentiasa menjadi rakyat Malaysia.

"Saya tidak akan meninggalkan negara ini dan akan meneruskan kerja-kerja amal saya kepada rakyat Sarawak selepas Tun Taib kembali sihat, Insya-Allah.

"Dengan ini, saya harap anda semua dapat berkumpul dan mendoakan Tun Taib. Terima kasih."

Sejak semalam, tular kandungan sebuah portal berita yang mendakwa Raghad telah melarikan Abdul Taib dari sebuah hospital pakar, dengan mencabut segala gajet rawatan yang dipasang ke badannya.

Turut tular, salinan laporan polis oleh pihak hospital berkenaan selain foto Abdul Taib yang sedang dirawat.

Raghad pada petang semalam turut memaklumkan menerusi media sosialnya bahawa tuduhan itu adalah tidak benar dan berniat jahat, sambil mendakwa telah mendapat kebenaran jururawat bertugas dan memuat naik nota oleh jururawat di Unit Rawatan Rapi hospital berkenaan.

Abdul Taib, 87 tahun, menamatkan perkhidmatan 10 tahunnya sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada Isnin lalu, dan digantikan oleh anak didiknya, Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Sebelum ini, Abdul Taib yang menjawat pelbagai jawatan dalam kabinet negeri dan Persekutuan sejak 1963, merupakan Ketua Menteri Sarawak selama 33 tahun.

Polis sahkan terima laporan kes tular bawa keluar Tun Taib Mahmud