Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein meminta ahli-ahli UMNO menilai prestasi beliau sepanjang penglibatannya dalam kerajaan dan parti selama ini dan bukan setakat setahun dua sebaliknya.

Beliau akan akur dan menghormati apa saja keputusan yang akan dibuat oleh lebih kurang 150,000 ahli UMNO yang akan memilih barisan kepimpinan parti itu pada 19 Oktober.

“Kalau mencukupi untuk saya mempertahankan kedudukan, saya pasrah dan saya serah bulat-bulat. Kalau pertimbangan diberi untuk saya kembali ke jawatan Naib Presiden saya berjanji akan pikul amanah itu dengan sebaik mungkin.

“Saya pernah dihentam tetapi barisan kepimpinan saya yang dahulu, berada dalam kepimpinan Kabinet sekarang. Ini adalah hasil kesabaran serangan-serangan peribadi.

“Dulu Pemuda UMNO merasa bahang semasa saya ketuanya. Kalau itu dapat kita lalui mungkin kami tidak akan berada di sini sekarang,'' katanya dalam satu temubual bersama Astro AWANI.

Kata Hishammuddin, sejarah jatuh bangunnya dalam politik selama ini boleh dijadikan sebagai salah satu teras untuk perwakilan menilai prestasinya.

“Sejarah akan mengingati kita memimpin parti dalam keadaan sukar dan kita berjaya. Namun kini, semua menghadapi serangan termasuk Majlis Tertinggi dan juga parti komponen.

“UMNO adalah parti keramat untuk orang Melayu dan dengan bekalan yang kita beri itu sudah cukup untuk menentukan hala tuju parti dan negara,'' ujarnya.

Ketika ditanya tentang cadangan berdebat oleh bekas Timbalan Presiden UMNO Tun Musa Hitam supaya semua calon jawatan itu ditampilkan serentak menerusi siaran televisyen, Hishammuddin menjelaskan pemilihan ini untuk perwakilan UMNO.

“Perwakilan ini bukannya bagi seluruh dunia untuk menentukan nasib calon-calon UMNO, malah bukan semua ahli UMNO yang menentukannya. Baik buruknya, kadang-kala akan memakan diri, jadi itu yang hendak kita elakkan.

"Jadi, kalau kita hendak berbincang di khalayak orang, ini bukan Pilihan Raya Presiden (Amerika Syarikat). Dalam hal sebegini rupa, saya rasa apa yang ada depan kita, sudah cukup.

Bagaimanapun Hishammuddin menolak desas-desus mengatakan calon Naib Presiden sudah ditetapkan oleh pihak tertentu.

"Ahli perlu berfikir dan melihat apa yang berjaya kami lakukan . Apa pun tidak ada 'wahyu' dari sesiapa dan tidak ada ‘clique’(kumpulan).

“Kami bekerja untuk semua, jadi ahli perlu melihat kami bekerja.

``Kalau ada yang mengatakan kami perlu ada ‘clique’ untuk berkerja, saya tidak fikir pada perkara itu. Saya realistik, sebagai penyandang kami berjaya membantu UMNO dan itu yang saya mahu ahli fikirkan.

“Tetapi kita tidak boleh memaksa ahli dan saya tak ada masalah untuk bekerja dengan sesiapa sahaja. '' ujarnya.

Selain Hishammuddin, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal akan mempertahan jawatan masing-masing.

Mereka bakal dicabar Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Mahathir, Pengerusi Felda Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad dan bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.