KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri Selangor didesak berhenti mengeluarkan kenyataan tidak benar berkaitan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU).

Gabungan badan bukan kerajaan (NGO), Pertahankan HSKLU menegaskan, dakwaan kononnya hutan itu merupakan hutan rosot adalah tidak benar kerana usaha pemulihan oleh penduduk tempatan dan Jabatan Perhutanan Selangor telah dijalankan sejak beberapa tahun lalu.

"Pada 2016, sebanyak 10,000 batang pokok ditanam menerusi usaha membabitkan masyarakat Orang Asli, Jabatan Perhutanan dan pemilik tanah berdekatan termasuk Boh Plantation Estate dan Gamuda Cove.

"Tindakan pencegahan kebakaran turut diambil dengan membina sekatan parit dan meningkatkan paras air selain melaksanakan tinjauan pencegahan kebakaran secara harian sekitar hutan tersebut.

BACA: Nyahwarta HSKLU: Kerajaan Selangor telah ambil kira semua aspek - Jabatan Perhutanan

BACA: Muafakat Nasional Selangor desak kerajaan negeri batalkan penyahwartaan HSKLU

"Hasilnya, hanya dua kebakaran kecil telah berlaku sejak lima tahun yang lalu dan tiada kejadian berlaku di kawasan yang dicadang untuk penyahwartaan," memetik kenyataan tersebut.

Ujar mereka, lebih dari 300 hektar kawasan hutan tersebut yang terkesan dengan kebakaran telah pulih dengan baik dengan tumbuhnya semula pokok bersaiz sederhana dan tinggi dan penanaman pokok oleh komuniti Orang Asli.

Dakwa gabungan itu, segala kenyataan tidak benar itu dibuat semata-mata ingin meraih sokongan seiring usaha menyahwartakan 536.7 hektar hutan tersebut bagi aktiviti pembangunan bercampur.

Mengulas lanjut, mereka berkata 98 peratus kawasan yang dinyahwartakan mempunyai kadar penutupan hutan dan 50 peratus daripadanya dipenuhi dengan pokok-pokok.

BACA: Gabungan NGO serah memorandum bantah penyahwartaan HSKLU

BACA: Raja Muda Selangor nafi ada kaitan dengan pemaju Hutan Simpan Kuala Langat Utara

Selain itu, mereka menyifatkan HSKLU mempunyai potensi ekologi disebabkan keunikan bentuk muka buminya selain komuniti Orang Asli masih mengunjungi dan menggunakan hutan tersebut untuk kegunaan seharian.

Justeru, PHSKLU menuntut agar Kerajaan Selangor menarik balik keputusan penyahwartaan 536.7 hektar hutan itu dengan serta-merta selain menuntut kerajaan negeri bekerjasama dengan komuniti Orang Asli dan pemegang taruh lain untuk melindungi HSKLU sebagai eksosistem penyimpanan karbon yang penting.

Pada 21 Februari tahun lalu, Menteri Besar Selangor, Datuk Amirudin Shari berkata kualiti pokok di hutan simpan Kuala Langat  yang merupakan hutan gambut telah merosot akibat kebakaran dan menimbulkan bahaya kebakaran ke kawasan sekitarnya.

Pengarah Perhutanan Negeri Selangor, Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid pula memaklumkan HSKLU telah diklasifikasikan sebagai kawasan berisiko tinggi untuk terbakar oleh jabatan itu pada tahun 2016 dan mengalami kemerosotan (degradasi) akibat beberapa kali terbakar pada tahun 2012, 2013, 2014, 2017 dan 2021.

Astro AWANI masih cuba mendapatkan penjelasan daripada Jabatan Perhutanan Selangor berhubung dakwaan yang dibuat PHSKLU tersebut.


Nyahwarta HSKLU | Kerajaan Selangor telah ambil kira semua aspek - Jabatan Perhutanan