KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan kerajaan dan empat tokoh politik untuk membatalkan saman yang difailkan seorang individu atas dakwaan menyalahgunakan jawatan awam dan melakukan kecuaian berhubung pembatalan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur - Singapura (HSR).

Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain memutuskan bahawa Mohd Hatta Sanuri tidak mempunyai locus standi untuk memulakan saman dan ia menyalahgunakan proses mahkamah.

"Oleh itu, mahkamah membenarkan permohonan kerajaan dan empat tokoh politik untuk membatalkan saman itu," katanya dan mengarahkan Mohd Hatta membayar kos RM10,000.

Pada 30 Dis tahun lepas, Mohd Hatta memfailkan saman itu bagi pihaknya dan lebih 32 juta rakyat Malaysia yang didakwa terkesan dengan keputusan defendan, dan menamakan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed, bekas Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan kerajaan Malaysia, sebagai defendan pertama hingga kelima.

Dalam pernyataan tuntutannya, Mohd Hatta memohon perintah mahkamah untuk mengisytiharkan bahawa pembatalan projek itu sebagai batal dan tidak sah, serta memohon kesemua defendan membayar pampasan RM1 juta kepadanya dan semua rakyat Malaysia kerana secara salah dan cuai membatalkan projek HSR.