Masalah pencemaran jerebu yang melanda negara dan rantau ini setiap tahun mungkin berakhir tidak lama lagi susulan perjanjian dua hala yang bakal ditandatangani Indonesia dan Malaysia.

Menurut Jakarta Post, pegawai daripada kedua-dua negara sedang mengusulkan satu perjanjian bagi memberi tumpuan kepada pencegahan kebakaran yang lebih baik, termasuk hukuman lebih keras terhadap gejala pembakaran terbuka di kawasan tanah gambut.

Pihak berkuasa, bagaimanapun, enggan mengulas berhubung jumlah penalti yang bakal dikenakan.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G. Palanivel, berkata kedua-dua negara bersetuju dengan perjanjian itu, namun enggan menyatakan bila ia akan ditandatangani.

Beliau hanya menyatakan syarikat-syarikat Malaysia yang beroperasi di Indonesia, terutamanya dalam industri minyak kelapa sawit, akan ditukarkan.

Perbincangan berhubung memorandum persefahaman (MoU) bermula bulan lalu dalam kalangan menteri ASEAN yang membawa kepada perjanjian kesepakatan oleh Parlimen Indonesia minggu lepas.

Perjanjian tersebut diutarakan selepas berlakunya jerebu teruk di rantau ini akibat pembakaran terbuka di kawasan hutan di Sumatera dan Kalimantan.

Minggu lepas, Jabatan Alam Sekitar (JAS) melaporkan dua kawasan di Semenanjung Malaysia mencatatkan paras udara tidak sihat akibat jerebu.

Lapan negeri, termasuk Kuala Lumpur dan Putrajaya,mencatatkan kualiti udara sederhana.

Tiga kawasan di Sarawak juga mengalami tahap udara yang tidak sihat akibat kebakaran hutan.