Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengingatkan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan isu kepenggunaan agar tidak melakukan sesuatu tindakan yang melebihi batasan undang-undang.

Jelasnya, NGO berkenaan sepatutnya membantu kerajaan dan bukan menyalahgunakan medium yang ada untuk kepentingan tertentu.

"NGO-NGO ini rakan kita. Kita bantu mereka, kita beri wang tetapi dalam keadaan tertentu mereka gunakan platform tertentu seolah-olah mereka lebih berkuasa daripada kerajaan.

"Mana mungkin mereka lebih berkuasa kerana kuasa itu di bawah undang-undang yang ada. Kita di sini jadi pengawal selia," katanya semasa sidang media selepas Majlis Perhimpunan KPDNKK Bulan Januari 2016 di sini hari ini.

Tegasnya, sebagai rakan KPDNKK, NGO sepatutnya tidak melakukan apa-apa jua tindakan dengan membelakangkan undang-undang.

"Kepada NGO-NGO saya nak beritahu bahawa ada undang-undang negara ini. Jangan ambil tindakan semata-mata kamu nak political mileage, nak populis, namun akhirnya buat sesuatu yang menyalahi undang-undang," kata Hamzah.

Beliau sendiri telah melawat Kompleks Kota Raya, Mara Digital, Plaza Low Yat dan banyak tempat bagi mengetahui sendiri sama ada wujud isu penipuan oleh peniaga.

"Saya sudah lawat banyak tempat, tetapi orang tidak kenal saya. Saya jalan dan tengok masalah dan saya apabila jumpa peniaga baru saya tahu ada telefoh Elephant dan nama macam-macam. Maknanya sekarang banyak jenis dan jenama telefon," ujar beliau.

Justeru, KPDNKK membuat senarai harga sebenar jenama-jenama telefon bimbit untuk rujukan pengguna dan mengelak berlaku sebarang penipuan.

"Langkah ini supaya pengguna tidak akan kena tipu lagi dan kita akan umumkan harganya. Contoh jenama telefon Elephant sama harga dengan Samsung, mana boleh.

"Kita akan panggil Samsung jumpa dengan kita, kerana kita tidak mahu berlaku pengguna tertipu. Tahun ini pelbagai langkah kita akan buat demi kepentingan pengguna," tambahnya.

Sebelum ini, polis telah membuka dua kertas siasatan berhubung kes penipuan penjualan telefon bimbit di Kompleks Kota Raya di Kuala Lumpur susulan laporan mangsa yang terlibat dalam dakwaan kes penipuan di pusat digital itu.