Semalam, Proton telah membuat penerangan mengenai isu peralatan keselamatan yang telah ditimbulkan pihak Asean NCAP pada minggu lepas.

Latar belakang isu
Pada 13 Oktober 2015, Asean NCAP (NCAP) telah mendedahkan bahawa mereka telah menerima rungutan daripada pengguna mengenai spesifikasi peralatan keselamatan di dalam kereta yang sebelum ini telahpun diuji pihak NCAP. Ia berkenaan komponen ‘top tether’ yang telah dikeluarkan daripada model buatan tempatan tersebut. ‘Top tether’ adalah penting sebagai penyumbang tambahan bagi keselamatan kanak-kanak, jika digunakan dengan betul.

Menurut NCAP, ketiadaan komponen seperti itu pasti akan memberi kesan kepada hasil ujian NCAP khususnya bagi Perlindungan Penumpang Kanak-Kanak (COP).

NCAP telah menggambarkan perbuatan pengeluar ini sebagai tidak bertanggungjawab.

Pada masa itu, nama pengeluar tempatan yang dimaksudkan belum lagi disebut. Tetapi, Perodua pada hari esoknya telah membuat penjelasan bahawa semua produk-produk mereka menepati pemarkahan sepertimana yang telah diberi oleh NCAP.

Tidak lama selepas itu, Proton juga membuat kenyataan yang (lebih kurang) sama. Mereka juga berkata bahawa mereka akan berhubung dengan pihak NCAP.

Penjelasan terbaharu Proton
Pihak syarikat menjelaskan bahawa telah ada salah komunikasi berlaku antara Proton dan NCAP berkenaan model ‘Saga’ dan komponen ‘top tether’ yang bukan lagi standard dan berbeza dengan kereta yang menjalani ujian perlanggaran pada 2013.

Menurut Proton lagi, model Saga spesifikasi tahun 2013 itu turut menampilkan lebih 10 lagi ciri bagi mendapatkan keputusan 3-bintang. Antara ciri-ciri ini adalah pengukuhan kepada bampar hadapan dan belakang, pengukuhan kepada bahagian tengah dan pintu hadapan, pengukuhan kepada sokongan kerusi belakang, penambahan beg udara penumpang beserta unit kawalan tersendiri, ‘pre-tensioner’ tali pinggang keledar, tali pinggang keledar tengah belakang dan juga pengubah ketinggian kerusi hadapan.

Proton tidak menjelaskan kenapa ‘top-tether’ ini telah dibuang sebagai komponen standard, tetapi menerangkan bahawa ia hanya berguna jika kerusi keselamatan kanak-kanak digunakan. Dan digunakan dengan betul.

‘Top-tether’ ini tidak mempengaruhi keputusan Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP)

Namun Proton mengakui bahawa mereka gagal mengemaskini NCAP mengenai ketiadaan ‘top-tether’ ini di dalam model Saga sekarang.

Sebagai langkah susulan, Proton bersedia untuk memasang komponen ‘top-tether’ ini pada kereta pemilik model Saga dengan percuma. Para pemilik yang berminat boleh menelefon 1 800 888 398 atau emel [email protected] untuk pertanyaan lanjut, atau menjadualkan pemasangan ini di pusat servis terdekat.

‘Top-tether’ ini dan Isofix ada dipasang pada semua model-model Proton yang mendapat 5-bintang daripada Asean NCAP, termasuk Preve, Suprima S dan Iriz.