LIPIS: Usaha membawa pulang mayat dua wanita Orang Asli ke kampung masing-masing pada Jumaat telah dilakukan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Pahang.

Pengarahnya, Johari Alwi memberitahu, kenderaan yang membawa dua mayat itu telah sampai pada petang Khamis, bagaimanapun keadaan dan jarak jauh untuk masuk ke kampung terlibat menyebabkan urusan tersebut dilakukan pada Jumaat.

"Kes ni sebenarnya telah ditangani oleh Jakoa Lipis pada hari Rabu semasa hari kematian cuma berlaku kelewatan perkhidmatan.

"Ia juga disebabkan jenazah COVID-19 memerlukan pengendalian khas dan kenderaan yang sesuai," kata beliau dalam kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini dalam laporan sebuah akhbar tempatan pada Khamis melaporkan dua mayat Orang Asli iaitu Erra Fazira Hamzah,27, dari Kampung Sinderut dan Wak Sai Bah Ema, 48, dari Kampung Lenjang di Hospital Kuala Lipis di sini tidak dapat dibawa pulang untuk disemadikan berikutan tiada kenderaan disediakan pihak berwajib.

Ujar Johari, kenderaan jenazah Jakoa Pahang yang sesuai hanya berada di Pekan dan ketika itu sedang menjalankan tugasan lain sebelum boleh bergerak ke Hospital Kuala Lipis pada Khamis.

"Sebenarnya urusan pengendalian kes-kes COVID-19 bukan di bawah tanggungjawab pihak Jakoa dan ia perlu diuruskan oleh pihak yang mempunyai kepakaran dan bertanggungjawab atas perkara kesihatan.

"Namun disebabkan percubaan awal pihak Jakoa untuk mendapatkan bantuan pihak terlatih dan bertanggungjawab tidak berjaya kerana faktor jarak yang jauh ke pedalaman.

"Oleh itu, jabatan bersedia mengambil risiko besar menguruskannya," jelas Johari.

Johari berkata, kenderaan daripada Jakoa Pekan dan Cameron Highlands terlibat bagi urusan tersebut.

Dalam pada itu, beliau memberitahu Jakoa Pahang sentiasa bersedia untuk membantu menguruskan penghantaran jenazah sekiranya diperlukan walau di mana pun lokasi penghantaran malahan ribuan jenazah masyarakat Orang Asli telah dihantar pulang ke lokasi yang diminta sebelum ini.

"Ada masanya juga kakitangan Jakoa sendiri yang menguruskannya sehingga ke peringkat proses pengebumian.

"Jakoa Pahang menganggap salah faham ini berlaku disebabkan penyampaian maklumat kurang difahami oleh waris mendiang yang sedang dalam keadaan kesedihan dan tertekan kerana kematian isterinya," jelas Johari.

Sementara itu, pihak jabatan juga mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail atas sumbangan ikhlas dan bantuan-bantuan lain kepada waris mangsa daripada awal sehinggalah urusan penghantaran selesai. - Sinar Harian