KOTA BHARU: Laluan di Seksyen 73.85, Jalan Dabong - Jeli (FT066) yang terputus akibat kegagalan pembetung, dibuka secara satu lorong untuk semua jenis kenderaan ringan sahaja (maksimum hingga 20 tan) semalam.

Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam kenyataan memaklumkan laluan itu disambungkan menggunakan Jambatan Panel Keluli Bermodular (JPKB) atau lebih dikenali sebagai Jambatan Bailey.

"Komponen-komponen Jambatan Bailey mula dipasang pada 5 Jan lepas dan telah siap sehari lebih awal dari tarikh jangkaan hari ini.

"Sebanyak 54 kakitangan JKR daripada Cawangan Senggara Fasiliti Jalan, JKR Jajahan Jeli, JKR Jajahan Machang, JKR Daerah Temerloh dan JKR Daerah Kinta bergabung tenaga bertungkus lumus menyiapkan jambatan sepanjang 30 meter berkenaan," menurut kenyataan itu hari ini.

Kenyataan itu turut memaklumkan jambatan berkenaan dibina bagi memastikan pengguna jalan raya terutamanya penduduk setempat tidak terputus hubungan sebelum kerja-kerja pembinaan pembetung kekal dilaksanakan.

"JKR akan memulakan pelaksanaan kerja-kerja pembinaan pembetung kekal di lokasi itu setelah menerima peruntukan dengan jangkaan siap sebelum musim perayaan Aidilfitri.

"Bagi memastikan kelancaran trafik, JKR telah menyediakan Pelan Pengurusan Trafik yang lengkap sebagai panduan kepada pengguna jalan raya supaya dapat mematuhi tanda arah dan papan tanda keselamatan yang disediakan," menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pembinaan jalan kekal laluan Dabong - Jeli yang runtuh mengambil masa selama dua bulan dan akan disiapkan sebelum Aidilfitri dengan melibatkan kos pembinaan sebanyak RM700,000.

-- BERNAMA