JELI: Jabatan Kerja Raya (JKR) menganggarkan kerja-kerja pembinaan jalan sementara di Kampung Lata Janggut Seberang di sini, akan menelan kos sebanyak RM60,000.

Ketua Jajahan Jeli Mohd Shaifudeen Mohd Salleh berkata kos pembinaan itu merangkumi kerja-kerja pembersihan kawasan tapak, kerja tanah, pembinaan jalan dan lencongan air yang boleh menyebabkan risiko gelinciran tanah.

"Pada peringkat ini kita sedang membuat kajian secara menyeluruh tentang beberapa pilihan yang ada bagi membina laluan alternatif terutama sekali yang kita kenal pasti adalah bersebelahan dengan tapak runtuhan.

"Saya memberi jaminan paling cepat pun minggu depan kerja-kerja pembinaan laluan alternatif ini boleh dimulakan," katanya ketika ditemui Bernama TV, di sini hari ini.

Pada Jumaat, hujan lebat telah mengakibatkan berlakunya kejadian jalan runtuh di Kampung Lata Janggut Seberang sehingga menyebabkan kira-kira 210 mangsa daripada 43 keluarga di penempatan itu terputus hubungan.

Mengulas lanjut, Mohd Shaifudeen berkata peruntukan bagi membina jalan alternatif itu akan dimohon daripada Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).

Sementara itu ditanya mengenai perkembangan kejadian tanah runtuh itu, Mohd Shaifudeen berkata kerja-kerja penstabilan cerun harus dilaksanakan sebagai langkah pencegahan jangka panjang bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Terdahulu Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan JKR sedang membantu menyediakan anggaran kos bagi pembinaan jalan sementara di sebelah jalan yang runtuh tersebut bagi mengelakkan penduduk kampung terputus hubungan.

-- BERNAMA