SERDANG: Polis mengingatkan orang ramai untuk melaporkan terus kepada pihak polis sekiranya berdepan sebarang kejadian tidak diingini dan tidak sekadar menularkannya di media sosial.

Mengambil contoh kes tular baru-baru ini yang mendakwa sepasang suami isteri meninggalkan dua anak mereka di dalam sebuah kereta berkunci bagi menghadiri rumah terbuka, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata kejadian seperti ini boleh menggugat nyawa kanak-kanak itu jika dibiar tanpa langkah susulan.

Bagi kes sedemikian, beliau mengingatkan bahawa ibu bapa atau penjaga boleh berdepan tindakan pihak berkuasa.

"Ia adalah jelas merupakan kelalaian ibu bapa yang boleh menggugat nyawa kanak-kanak itu.

"Pada yang tularkan kejadian ini, lebih baik melaporkan kejadian tersebut kepada pihak polis daripada tularkannya di media sosial," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dewan Serbaguna Balai Polis Seri Kembangan, di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Hussein berkata sebanyak 155 kes dilaporkan melibatkan jenayah seksual bawah umur sejak Januari hingga April tahun ini di sekitar Selangor.

Tanpa menjelaskan butiran lanjut, beliau berkata kes ini kian meningkat dan daripada jumlah itu, 33 suspek merupakan pelajar.

"Jenayah seksual di bawah 18 tahun adalah satu kesalahan besar dan tidak faham akan undang-undang juga memainkan peranan suspek melakukan jenayah walaupun atas dasar suka sama suka," katanya.

Jelasnya, kemudahan akses kepada internet dan media sosial juga memainkan peranan berlakunya jenayah seksual bawah umur.

Beliau menambah, kes-kes yang berlaku kebanyakannya terjadi kepada pelajar perempuan di sekolah menengah dan mangsa paling muda terlibat berusia 12 tahun.

"Polis sentiasa memantau aktiviti para pelajar di sekolah dengan mewujudkan pegawai perhubungan sekolah. Namun, itu semua tidak memadai sekiranya ibu bapa atau penjaga tidak mengambil serius akan isu ini. Mereka perlu mainkan peranan," katanya.

-- BERNAMA