Parti komponen Barisan Nasional (BN), MCA akan mengkaji kedudukan mereka dalam gabungan tersebut jika UMNO menyokong pelaksanaan hudud di Kelantan, kata Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong.

Ka Siong berkata MCA kekal dengan pendiriannya untuk mempertahankan perlembagaan negara seperti mana tindakan mereka mempertahankan kontrak sosial yang telah dipersetujui ketika negara mencapai kemerdekaan.

"Kalau perkara tersebut berlaku, sudah tiba masanya kita bincang kedudukan kita dalam Barisan Nasional," katanya ketika menjadi ahli panel Wacana Sinar Harian yang bertajuk, "Hudud: Bersediakah Kita" di Auditorium Sultan Muhammad ke V, Bangunan Karangkarf, di sini, pada Rabu.

Bekas Timbalan Menteri Pelajaran itu juga berkata, MCA tidak pernah menolak Islam tetapi pihaknya mempertikaikan hukum hudud yang cuba dibawa oleh PAS.

"Itu pandangan MCA yang amat jelas, kita bukan anti Islam atau menolak Islam, cuma macam saya, saya tidak percaya dengan hukum hudud PAS," katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menegaskan PAS tidak akan meninggalkan Pakatan Rakyat jika rakan komponen DAP dan PKR menolak rancangan mereka untuk melaksanakan hudud di Kelantan.

"PAS takkan sertai BN sekalipun Pakatan Rakyat menolak hudud yang kita nak bawa," katanya.

Beliau menjelaskan, PAS hanya melaksanakan tindakan berkenaan apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata kerajaan pusat sedia bekerjasama jika PAS mahu melaksanakan hudud di Kelantan.

"Orang sudah bagi jalan, kita hanya menyambutnya," katanya lagi.