PUTRAJAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) mencapai kutipan hasil sebanyak RM55.1 bilion bagi tahun 2023, melepasi sasaran RM53.5 bilion, dengan lebihan sebanyak RM1.6 bilion atau tiga peratus.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata beliau menghargai sokongan padu dan berbangga dengan semangat yang ditunjukkan oleh semua warga jabatan itu yang sentiasa bekerja keras sehingga ke hujung tahun 2023.

"Kita telah membuktikan bahawa jabatan ini sentiasa komited dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan," katanya dalam ucapan majlis sambutan Hari Kastam Sedunia Ke-42 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Anis Rizana berkata bagi 2024, Kementerian Kewangan telah menetapkan sasaran kutipan hasil sebanyak RM56 bilion kepada Kastam.

"Sebagaimana kejayaan yang dicapai pada tahun lepas, saya yakin dan percaya kita mampu mengulangi kejayaan bagi tahun 2024 ini," katanya.

Dalam usaha untuk menarik kepercayaan lebih ramai pelabur ke Malaysia pula, Anis Rizana berkata Kastam konsisten dalam usaha mempercepatkan dan memantapkan lagi fasilitasi perdagangan merentasi sempadan.

"Dengan adanya keseimbangan antara fungsi mengutip hasil dan fasilitasi perdagangan, pembangunan ekonomi akan menjadi lebih makmur. Kastam juga sentiasa giat memberikan kefahaman dan pengetahuan kepada pihak industri melalui program-program seperti bantuan dan sumbangan serta khidmat nasihat dari semasa ke semasa.

"Kastam turut memberi fokus ke arah memudahcara perdagangan dengan mengadaptasi transformasi teknologi melalui pembangunan sistem seperti MyExcise Fasa 2, CuBIC, Sistem MySawit, SDSIE dan i-PATUH," katanya.

Seiring dengan dasar dan inisiatif kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan terpilih dan antara negara perdagangan yang berdaya saing, Anis Rizana berkata Kastam sentiasa bersedia memenuhi komitmen perjanjian perdagangan antarabangsa seperti layanan keutamaan perdagangan (preferential trade) serta mematuhi prinsip 'Rules of Origin' (ROO).

"Antara kerjasama antarabangsa terkini yang dimeterai adalah 'Mutual Recognition Arrangement - Authorised Economic Operator' (MRA-AEO) yang baru ditandatangani pada 18 Jan lepas antara Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Kastam Singapura, bagi melancarkan prosedur perkastaman dan meningkatkan lagi fasilitasi perdagangan antara kedua-dua negara," katanya.

-- BERNAMA